NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

KKM terbitkan rujukan tangani sindrom Long COVID


PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menerbitkan Garis Panduan Pengurusan Pasca COVID-19 Kebangsaan sebagai sumber rujukan menangani komplikasi atau sindrom COVID berpanjangan (Long COVID).

Menterinya, Khairy Jamaluddin, berkata, tanpa rawatan khusus dan berstruktur, keadaan itu boleh berterusan sehingga menjejaskan kualiti hidup individu yang mengalami gejala Long COVID.

Katanya, ia juga boleh menyebabkan implikasi seperti peningkatan morbiditi, kehilangan upaya, penurunan produktiviti, hilang punca pendapatan yang membawa kepada bebanan sosioekonomi bukan sahaja kepada individu tetapi juga keluarga, masyarakat serta ekonomi negara.

"Bagi menangani gejala Long COVID dengan berkesan dan selamat, Garis Panduan Pengurusan Pasca COVID-19 Kebangsaan pada Julai 2021 boleh dijadikan rujukan dan membabitkan pelbagai kepakaran termasuklah kesihatan primer, penyakit berjangkit, perubatan dalaman, nefrologi, kardiologi, respiratori, obstetrik, pediatrik, psikiatri dan perubatan rehabilitasi.

"Dengan adanya protokol Garis Panduan Pengurusan Pasca COVID-19 Kebangsaan, individu yang mengalami gejala Long COVID ringan boleh menjalani penilaian awal dan rawatan di mana-mana klinik kesihatan terdekat di seluruh negara.

"Individu dengan gejala Long COVID serius hingga menjejaskan fungsi ketara dan keupayaan kembali bekerja boleh dirujuk kepada hospital dengan kepakaran perubatan rehabilitasi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Khairy berkata, antara gejala Long COVID kerap dialami dan boleh menyebabkan impak ke atas fungsi serta aktiviti harian individu terkesan adalah kelesuan, kesukaran bernafas, batuk, kesakitan sendi dan otot, kesukaran tidur nyenyak dan kelemahan anggota.

Katanya, Long COVID turut memberi kesan kepada masalah deria, kegelisahan, kekabutan otak dan lesi kulit.

Mengenai rehabilitasi, Khairy berkata, ia adalah kepakaran perubatan yang memberi fokus kepada peningkatan kefungsian individu melalui diagnosis, rawatan kesihatan, mengurangkan kehilangan upaya serta pencegahan komplikasi.

"Intervensi program rehabilitasi bermatlamatkan kefungsian optimum fizikal, kognitif, sosial, psikologikal, vokasional dan avokasional, seiring keperluan tersendiri individu terkesan.

"Program rehabilitasi komprehensif dan holistik membabitkan kepakaran anggota pelbagai disiplinari merangkumi Pakar Rehabilitasi, Pegawai Perubatan, anggota Pemulihan Fisioterapi, anggota Pemulihan Cara Kerja dan Jururawat.

"Ia bergantung kepada keperluan spesifik pesakit, Pegawai Pemulihan Pertuturan dan Penelanan, Kaunselor, Pegawai Dietetik, Pegawai Farmasi dan Pegawai Kebajikan Sosial Perubatan juga boleh dibabitkan bersama," katanya.

Khairy berkata, sehingga April lalu seramai 2,798 pesakit menjalani rawatan rehabilitasi Long COVID melalui rawatan pesakit dalam.

"Selain itu, sejumlah 6,432 pesakit menjalani rawatan perubatan rehabilitasi Long COVID melalui rawatan pesakit luar di fasiliti KKM di seluruh negara.

"Sebanyak 30 hingga 40 peratus pesakit Long COVID dapat kembali bekerja dalam tempoh tiga bulan selepas dijangkiti COVID-19, manakala 60 hingga 70 peratus kembali bekerja dalam tempoh enam bulan selepas dijangkiti.

"KKM akan terus menambah sumber dan peralatan untuk merawat serta memulihkan kes Long COVID sebagai sebahagian daripada strategi melindungi dan merawat mereka yang berisiko tinggi dijangkiti," katanya.

Antara hospital dan fasiliti kesihatan yang menyediakan perkhidmatan Perubatan Rehabilitasi untuk Long COVID ialah di Hospital Rehabilitasi Cheras, Hospital Kuala Lumpur, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Canselor Tunku Mukhriz dan Hospital Universiti Putra Malaysia.

Di Pahang, hospital dan fasiliti berkenaan ialah di Hospital Tengku Ampuan Afzan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Kelantan (Hospital Raja Perempuan Zainab II dan Hospital Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang (Hospital Pulau Pinang, Hospital Seberang Jaya dan Hospital Balik Pulau).

Selain itu di Kedah iaitu Hospital Sultanah Bahiyah, Hospital Jitra; Hospital Kuala Nerang; dan Hospital Sultan Abdul Halim, Perak (Hospital Raja Permaisuri Bainun dan Hospital Batu Gajah), Sabah (Hospital Sandakan dan Hospital Queen Elizabeth) Sarawak (Hospital Umum Sarawak, Hospital Miri, Hospital Sibu).

Negeri lain ialah Johor iaitu di Hospital Sultan Ismail dan Hospital Sultanah Aminah, Terengganu (Hospital Kemaman, Hospital Sultanah Nur Zahirah; dan Hospital Dungun), Melaka (Hospital Melaka dan Pusat Rehabilitasi PERKESO Tun Abdul Razak).


Sumber | BH Online






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo