NOTIS:

Belum ada lagi....

Siasatan MyCC rangkumi kesemua pemain industri ayam, dijangka selesai akhir Jun

0

Nanta berkata, MyCC telah memulakan penyiasatan terhadap kesemua pemain industri ayam di seluruh Malaysia dari peringkat huluan hingga hiliran.

PUTRAJAYA: Siasatan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) terhadap dakwaan pelakuan antipersaingan dalam industri ayam negara dijangka tamat pada akhir Jun ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata pihak MyCC telah memulakan penyiasatan terhadap kesemua pemain industri ayam di seluruh Malaysia dari peringkat huluan hingga hiliran.
Katanya MyCC telah menubuhkan pasukan khas pada awal Februari lepas untuk menyiasat dakwaan terdapatnya pelakuan antipersaingan merangkumi perjanjian antipersaingan atau dan penyalahgunaan kedudukan dominan dalam pasaran yang boleh meningkatkan harga-harga barangan dalam pasaran industri ayam.
"Penemuan daripada penyiasatan ini akan dibentangkan kepada anggota-anggota Suruhanjaya yang bertindak sebagai sebuah badan separa kehakiman yang mempunyai kuasa memutuskan sama ada terdapat pelanggaran terhadap Seksyen 4 Akta Persaingan 2010," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Nanta berkata sekiranya didapati tuduhan kartel itu mempunyai asas yang kuat, MyCC dijangka mengeluarkan Keputusan Cadangan di bawah Seksyen 36 akta sama dan pihak yang disiasat akan diberi ruang untuk mempertahankan diri mereka melalui sesi representasi bertulis dan lisan sebelum suruhanjaya membuat keputusan muktamad.
Beliau berkata sekiranya didapati melanggar seksyen itu, mereka boleh dikenakan penalti kewangan sehingga 10 peratus dari jualan produk atau perkhidmatan selama mana pelanggaran itu berlaku.
Nanta juga berkata laporan sebuah portal berita semalam bahawa terdapat kartel yang mengawal harga dan pengeluaran ayam adalah tidak tepat kerana kes itu masih disiasat dan belum dapat dibuktikan lagi.
Mengenai penguatkuasaan Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) yang membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap mana-mana individu dan syarikat yang menyorok, menyimpan atau melakukan unsur-unsur sabotaj terhadap bekalan ayam, Nanta berkata kementeriannya melalui Bahagian Penguat Kuasa memberi jaminan akan menjalankan siasatan sekiranya wujud elemen perlanggaran terhadap akta itu di semua rantaian bekalan dan peruncitan.
Katanya akta ini juga akan diguna pakai terhadap mana-mana penjual yang mengenakan syarat dan menjual harga barangan kawalan melebihi harga ditetapkan.
Sementara itu, Nanta berkata KPDNHEP menyambut baik saranan dan langkah penyelesaian dikemukakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam Mesyuarat Kabinet semalam untuk menangani isu bekalan dan harga ayam.
Beliau berkata KPDNHEP sedia bekerjasama dengan mana-mana kementerian dan agensi yang berkaitan untuk bersama-sama mencari dan melaksanakan tindakan penyelesaian bagi merealisasikan saranan berkenaan.
Kerajaan bersetuju mengambil beberapa tindakan jangka pendek dan panjang bagi mengatasi isu bekalan serta harga ayam termasuk eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan dihentikan bermula 1 Jun ini sehingga harga dan pengeluaran ayam kembali stabil.
-- BERNAMA





............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo