NOTIS:

Belum ada lagi....

Pemandu tidak cukup alasan tambang tidak menentu - Grab Malaysia

0

Grab Malaysia berkata keadaan permintaan dan penawaran yang tidak menentu itu didorong oleh beberapa faktor, termasuk disebabkan ramai rakan-pemandu tidak lagi aktif sejak dua tahun lepas akibat COVID-19. - Gambar/ Bernama

KUALA LUMPUR: Grab Malaysia hari ini menjelaskan bahawa caj tambang perkhidmatan e-hailingnya yang dilihat berubah tidak menentu baru-baru ini adalah berpunca daripada kekurangan pemandu yang bekerja ketika itu untuk memenuhi permintaan yang tinggi.
Grab Malaysia dalam kenyataan hari ini berkata pada pertengahan Mei lepas, jumlah pemandu di platform mereka masih dalam keadaan kurang 70 peratus daripada keadaan sebelum pandemik.
"Kami perlu terangkan dengan jelas, bahawa kami tidak membuat sebarang perubahan terhadap struktur tambang. Grab menerima pakai model harga dinamik bagi memastikan penumpang mendapat perkhidmatan penghantaran apabila mereka memerlukan, dan pemandu kami diberikan bayaran yang adil bagi tenaga dan masa mereka.
"Apabila jumlah yang menempah perkhidmatan terlalu ramai berbanding jumlah pemandu di sedia ada di kawasan tertentu , caj tambang akan melonjak bagi menggalakkan lebih ramai pemandu 'menghala' ke arah lokasi penumpang," menurutnya.
Grab Malaysia berkata keadaan permintaan dan penawaran yang tidak menentu itu didorong oleh beberapa faktor, termasuk disebabkan ramai rakan-pemandu tidak lagi aktif sejak dua tahun lepas akibat COVID-19.
Bagaimanapun menurutya susulan langkah kerajaan menarik balik pelbagai sekatan yang dikenakan sebelum ini dalam usaha memerangi pandemik baru-baru ini, tempahan perkhidmatan di platform mereka dilihat meningkat dengan pantas, dan ini juga disebabkan oleh tempoh perayaan baru-baru ini.
Selain itu respons dalam kalangan pemandu bagi memenuhi permintaan yang mendadak juga dilihat agak lambat, kerana para pemandu perlu memenuhi pelbagai peraturan terlebih dahulu.
"Akhir sekali, kita lihat munculnya kesesakan lalu lintas yang cukup luar biasa. Ini meningkatkan kos (dari segi masa dan bahan api) untuk melayan setiap tempahan, dan pada masa yang sama mengurangkan keberkesanan kapasiti pemandu untuk menerima lebih banyak tempahan.
"Sementara kami berusaha untuk membawa lebih ramai pemandu menyertai kami, masalah memenuhi tempahan terus berlaku, memandangkan peningkatan dalam permintaan jauh melebihi jumlah peningkatan pemandu.
"Dalam jangka panjang, kami tetap teguh dalam komitmen kami untuk menyediakan perkhidmatan penghantaran mampu milik untuk komuniti kita, bagaimanapun dalam jangka pendek, kami akan terus berusaha untuk memenuhi semua permintaan," katanya.
Grab Malaysia menjelaskan bahawa baru-baru ini, ia telah melaksanakan beberapa langkah untuk meningkatkan bekalan pemandu bagi memenuhi permintaan.
Antaranya ialah meningkatkan insentif untuk pemandunya kembali ke jalan raya semasa waktu puncak, memberi subsidi sehingga 100 peratus daripada keseluruhan kos pematuhan peraturan pemandu, di samping dan menawarkan bonus rujukan sehingga RM300 kepada pemandu sedia ada bagi merujuk dan membantu pemandu-pemandu yang baharu.
Ia juga mencadangkan supaya penumpang merancang perjalanan mereka, dan membuat tempahan perkhidmatan lebih awal daripada biasa.
Ahad lepas Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dilaporkan telah mengarahkan penyedia perkhidmatan e-hailing tampil memberi penjelasan dan penjelasan berhubung dakwaan kenaikan tambang yang membebankan pengguna.
-- BERNAMA





............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo