NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ribuan penduduk Beijing negatif COVID-19 dikuarantin

Kakitangan perubatan mendapatkan sampel calitan daripada seorang lelaki untuk ujian COVID-19 di Beijing, China. - Foto AFP

BEIJING: Ribuan penduduk Beijing yang negatif bagi ujian COVID-19 dipindahkan ke hotel kuarantin berikutan berlaku beberapa jangkitan di bandar itu.

Beijing mula mengambil langkah kawalan melampau hampir sama dengan Shanghai yang turut diancam pandemik coronavirus berkenaan.

Beijing kini berperang dengan penularan terburuk sejak bermulanya pandemik.


Varian Omicron menjangkiti lebih 1,300 mangsa sejak akhir April lalu, menyebabkan restoran, sekolah dan kawasan tarikan pelancong ditutup.

Strategi China untuk mencapai sifar kes COVID-19 termasuk penutupan sempadan yang ketat, kuarantin yang berpanjangan, ujian saringan berskala besar dan pantas serta penutupan bersasar.


Lebih 13,000 penduduk di kawasan perintah berkurung perkarangan kediaman Nanxinyuan di selatan timur Beijing dipindahkan ke hotel kuarantin kelmarin, susulan 26 jangkitan baharu yang ditemui beberapa hari lalu.

Laporan itu, berdasarkan gambar dan notis kerajaan, dikongsi secara meluas di media sosial.

Pihak berkuasa daerah Chaoyang, berkata pakar sudah menentukan bahawa semua penduduk Nanxinyuan wajib menjalani kuaratin berpusat bermula tengah malam 21 Mei lalu, untuk tempoh selama tujuh hari.

"Sila beri kerjasama atau anda mungkin akan menanggung tindakan undang-undang," katanya.

Gambar di media sosial menunjukkan ratusan penduduk dengan bagasi beratur di dalam gelap untuk menaiki bas yang diletakkan di luar perkarangan premis kediaman itu.

Menurut seorang penduduk di laman sosial Weibo, sesetengah daripada mereka dikurung selama 28 hari sejak 23 April lalu dan mereka semua disahkan negatif sepanjang waktu itu.

"Kebanyakan jiran saya adalah golongan yang berusia atau mempunyai anak kecil, pemindahan ini membuatkan kami berasa seolah-olah berada di zaman perang," katanya.

Pihak berkuasa kawalan penyakit daerah Chaoyang, berkata ia tidak mengeluarkan maklumat kepada luar dan bergantung kepada sidang media pihak berkuasa Beijing. - AFP






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo