NOTIS:

Belum ada lagi....

PRU15 : Bersatu Terengganu tanding 2 kerusi Parlimen, 10 DUN

0
Oleh MOHD LAZIM ENDUT

PERIKATAN Nasional (PN) Terengganu pada dasarnya bersetuju membenarkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertanding di dua kerusi Parlimen dan 10 Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Senator Datuk Razali Idris berkata, berdasarkan perbincangan awal PN membabitkan Bersatu dan Pas, kesemua kerusi yang bakal ditandingi parti itu adalah di kawasan milik UMNO.

“Melalui perbincangan awal berhubung agihan kerusi, Pas secara kasarnya bersetuju untuk membenarkan kita bertanding di semua kerusi milik UMNO atas nama PN.

“Ini termasuklah dua kerusi Parlimen di Besut dan Hulu Terengganu. Bagi kerusi Parlimen Hulu Terengganu, kita akan cadangkan kepada Presiden Parti untuk mengekalkan Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid bertanding di kerusi tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Bersatu Bahagian Marang di Kampung Rhu Muda hari ini.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Rosol Wahid.

Razali yang juga Naib Pengerusi Satu PN Terengganu berkata, bagi kerusi DUN pula melibatkan Jertih, Kuala Besut, Hulu Besut, Seberang Takir, Kijal, Telemong, Bukit Besi, Langkap, Batu Rakit dan Permaisuri.

Menjawab satu soalan, beliau yang juga Pengerusi Perhubungan Bersatu Terengganu tidak dapat pastikan bilakah perbincangan fasa kedua antara Bersatu dan Pas akan diadakan bagi membincangkan secara khusus persediaan menghadapi PRU-15.

Bagaimanapun katanya, setakat ini pihaknya masih mengguna pakai perbincangan yang diadakan sebelum ini.

Menurut beliau kerja-kerja persiapan awal bagi nenghadapi PRU-15 telah digerakkan dan Bersatu Terengganu telah menghantar senarai nama-nama calon kepada pucuk pimpinan untuk dinilai.

“Tiga orang senarai calon bagi setiap kerusi yang bakal kita tandingi telah dihantar kepada pucuk pimpinan parti untuk dinilai”, ujar beliau.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo