NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

40 kali penghantaran wang tunai dilakukan kepada Zahid Hamidi - Saksi


SHAH ALAM: Bekas Pengarah Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) mengesahkan di Mahkamah Tinggi di sini bahawa syarikatnya menghantar wang tunai setiap bulan dalam Dolar Singapura kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dari 2014 hingga 2018 berhubung kontrak Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Harry Lee Vui Khun berkata, bayaran kepada Ahmad Zahid bermula akhir tahun 2014 dengan bayaran sebanyak SG$200,000 sebulan kemudian meningkat kepada SG$520,000 sebulan pada 2017.

"Bayaran SG$200,000 sebulan bermula pada hujung tahun 2014 dan berterusan sehingga pertengahan 2015. Dalam tempoh itu, kami ada pergi ke rumah beliau (Ahmad Zahid) di Country Heights, Kajang dan dalam perjumpaan itu Datuk Seri Zahid (Ahmad Zahid) meminta sumbangan bulanan dinaikkan. Selepas berbincang dengan Wan Quoris (Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani, Pengarah UKSB) dan David Tan, kami bersetuju untuk (memberi) SG$300,000 sebulan.

"Kemudian pada 2017, Datuk Seri Zahid meminta untuk berjumpa kami berdua di kediaman peribadinya. Dalam pertemuan itu juga Datuk Seri Zahid meminta bayaran bulan dinaikkan berikutan pilihan raya umum akan diadakan.

"Selepas berbincang dengan Wan Quoris dan David Tan, kami bersetuju untuk menaikkan bayaran bulanan daripada SG$300,000 kepada SG$520,000 sebulan," katanya ketika membacakan penyataan saksinya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Abdul Malik Ayob pada perbicaraan kes Ahmad Zahid yang menghadapi 40 pertuduhan rasuah.

Saksi pendakwaan ke-15 itu menambah mereka bersetuju dengan jumlah itu selepas Ahmad Zahid memaklumkan bahagian UMNO memerlukan bantuan kewangan.

"Dalam perbincangan kami, kami bersetuju untuk membayar sejumlah RM10,000 bagi setiap bahagian iaitu lebih kurang 100 bahagian UMNO dan selepas pengiraan jumlah keseluruhan mencecah SG$520,000 sebulan," katanya.

Saksi pendakwaan ketiga, bekas Timbalan Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Imigresen Kementerian Dalam Negeri (KDN) Siti Jalilah Abd Manap sebelum ini memberitahu mahkamah bahawa Ahmad Zahid telah menyambung kontak UKSB untuk projek VLN walaupun kontrak sedia ada masih berbaki tiga tahun lagi.

Apabila ditanya dalam soalan tambahan oleh DPP Datuk Raja Rozela Raja Toran, bolehkah anda mengingati berapa kali anda menghantar (wang tunai) dari 2014 hingga 2018? Beliau berkata: "Proses itu 70 peratus dilakukan oleh saya...40 kali dalam tempoh empat tahun."

Raja Rozela: Bolahkah anda ingat dengan siapa anda pergi ke Country Heights, Kajang (rumah Ahmad Zahid) untuk menyerahkan wang itu?

Harry Lee: Dengan Wan Quoris dan David Tan.

Raja Rozela: Dalam kenyataan, anda berkata wang itu diserahkan sendiri oleh anda, anda pergi bersama (Wan Quoris dan David Tan) mengapa anda berbuat demikian?

Harry Lee: Saya tak pasti, dari hari pertama penghantaran sedemikian, saya hanya ikut dari hari pertama, ia adalah pertemuan empat mata (dengan Ahmad Zahid).

Beliau menambah sepanjang 40 kali penghantaran yang dilakukannya, Ahmad Zahid tidak pernah memulangkan wang itu.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB, untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan OSC di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai menteri sama telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan US$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Perbicaraan didengar di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa. – BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo