NOTIS:

Belum ada lagi....

Pemilihan PKR tidak sunyi dengan kekecohan dan dakwaan wujud penipuan

0
Pemilihan PKR yang bermula sejak tiga hari lalu mencetuskan kekecohan dengan dakwaan berlaku kecatatan dan salah laku di beberapa negeri ketika pengundian dijalankan.

Di Negeri Sembilan, beberapa ahli PKR cabang Rembau mendakwa sistem pengundian dalam talian membenarkan ahli parti baru mengundi walaupun mereka tidak layak berbuat demikian.

Mengikut peraturan pemilihan parti, hanya mereka yang didaftarkan sebagai ahli PKR setakat 31 Jan tahun ini dibenarkan mengundi.

Bagaimanapun, D Vaanmanthi, 28, berkata, dia pelik kerana abangnya yang mendaftar sebagai ahli PKR pada April lalu dibenarkan mengundi sedangkan dia yang menjadi ahli lebih awal tidak dibenarkan.

"Saya yang daftar keahlian pada 17 Mac lalu pun tak dibenarkan mengundi, macam mana abang saya boleh lepas.

"Saya tak faham sistem ini macam mana. Bagi saya ia tak adil dan boleh dipersoalkan," katanya kepada Sinar Harian.

Di Pulau Pinang dan Perlis, situasi tegang berlaku di dua pusat mengundi berikutan 'pondok panas' yang didakwa didirikan lebih dekat daripada sepatutnya.

Menurut laporan Berita Harian, salah seorang calon ketua cabang Kangar membangkitkan isu pondok kempen dan perayu undi yang bertugas berhampiran pusat mengundi di situ.

Gan Ay Ling, yang merupakan penyandang timbalan ketua cabang PKR Kangar, mendakwa pondok panas milik dua lagi calon, Noor Amin Ahmad dan Amar Amran terletak kurang 200 meter daripada lokasi pengundian, iaitu jarak minimum yang ditetapkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR.

"Walaupun suasana pengundian berlangsung dalam keadaan baik hari ini (semalam), namun situasi kewujudan pondok 'panas' kurang 200 meter seperti ditetapkan JPP Pusat dilihat merencatkan suasana pengundian.

"Ini kerana ia menyalahi syarat JPP yang menetapkan pondok 'panas' perlu berada dalam lingkungan 200 meter daripada tempat pengundian," katanya, menurut Berita Harian.

Selain itu, itu katanya, pertukaran 'cai' atau pasukan dilihat berlaku pada pemilihan ini dengan senarai 'cai' yang diberikan kepada pengundi diambil dan ditukar kepada 'cai' calon lain.

Dakwaan itu bagaimanapun ditepis oleh Noor Amin yang mengatakan jarak pondok panas yang dekat bukan menjadi isu kerana ia memudahkan ahli yang mengundi mendapat maklumat.

"Calon akan memberi 'cai' bagi memudahkan ahli memilih calon pilihan mereka. Jadi keputusan di tangan mereka (pengundi) walaupun ahli yang mengundi itu mempunyai beberapa cai sekali pun," katanya seperti dilapor.

Sementara itu Amar berkata pondok panas yang berdekatan lokasi mengundi memudahkan ahli keranamereka tidak perlu berjalan terlalu jauh dari tempat mengundi.

Di Bayan Baru, Pulau Pinang, kekecohan dilaporkan berlaku berikutan provokasi antara kumpulan yang memancing pengundi bagi menyokong calon mereka.

Sinar Harian melaporkan berlaku provokasi selain petugas didakwa tidak mengikut peraturan pengundian di Pusat Pengundian Cabang Bayan Baru yang diadakan di Pusat Konvensyen Setia SPICE.

"Petugas pusat pengundian dan perayu undi adalah daripada pihak yang sama, sebab itu berlaku ketidakadilan ketika merayu undi. Mereka jelas tidak mengikut peraturan yang ditetapkan yang mana tidak boleh berada (untuk merayu undi) dalam radius 200 meter," dakwa seorang ahli parti.

Semalam, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli yang bertanding bagi jawatan timbalan presiden PKR turut membangkitkan pelbagai kelemahan dalam sistem pemilihan kali ini.

Ia katanya termasuk dakwaan bahawa seseorang ahli boleh mengundi beberapa kali bagi pihak orang lain.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo