NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pemilihan PKR, apa yang kita tahu


KUALA LUMPUR: PKR akan mengadakan pemilihan 2022 untuk memilih barisan kepimpinan baharu sebagai persediaan parti komponen Pakatan Harapan itu menghadapi PRU15 yang dijangka tahun hadapan.

Setakat ini, apa yang kita tahu mengenai pemilihan ini yang dijangka hangat kerana turut membabitkan beberapa watak utama untuk jawatan kedua tertinggi parti.

Pemilihan PKR membuka tirainya semalam menyaksikan persaingan sengit 11,282 calon bagi merebut pelbagai jawatan termasuk jawatan tertinggi parti.

Bagaimana cara pemilihan

Pemilihan secara fizikal bermula semalam membabitkan negeri di Pantai Timur, Kelantan dan Terengganu dengan lokasi ditetapkan di setiap cabang parti. 

Sebanyak 14 lokasi pengundi fizikal di buka di Kelantan dan lapan di Terengganu manakala hari ini, pengundian secara fizikal dilaksanakan di Kedah dan Johor. 

Untuk Kedah 14 lokasi ditetapkan dan di Johor, ahli PKR boleh mengundi di 26 lokasi.

Pengundian fizikal diteruskan di Pahang dan Wilayah Persekutuan esok (15 Mei) dengan masing-masing 14 dan 12 lokasi pengundian manakala pada Isnin pengundian fizikal dijalankan di Perlis, Pulau Pinang, Melaka dan Negeri Sembilan. 

Untuk Selangor, negeri yang dicatatkan paling ramai ahli ditetapkan pengundian pada 21 Mei dan Perak, Sabah dan Sarawak pada 22 Mei. 

Selain pengundian secara fizikal, turut diadakan pengundian dalam talian melalui aplikasi ADIL yang akan mula dilaksanakan 18 hingga 20 Mei. 

Bagi pengundian secara dalam talian untuk anggota parti luar negara, aplikasi pengundian di buka pada 17 Mei.

Bagi pemilihan kali ini, jawatan nombor satu tidak menjadi titik tumpu kerana Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah pun menang tanpa bertanding selepas tiada pencalonan lain diterima selepas pencalonan ditutup. 

Bukan hanya anggota parti PKR, orang di luar pastinya memberi tumpuan kepada pemilihan jawatan Timbalan Presiden yang mana buat kali pertama menyaksikan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menawarkan diri bertanding bersama pencabarnya, bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli. 

Sejak beberapa hari lalu, Rafizi sudah mula menjalankan strategi 'menyerang' bukan berunding untuk pemilihan kali ini dengan mempersoalkan 54,000 daftar pemilih. 

Beliau menyatakan, daftar berkenaan meragukan yang sedikit sebanyak sudah tentu membangkitkan keraguan dalam kalangan ahli bagi pemilihan kali ini. 

Siapa pemain utama pemilihan kali ini 

Semua maklum, strategi Rafizi itu acapkali jadi senjata setiap kali beliau berhadapan pemilihan dan seperti diakuinya pendekatan 'lebih agresif digunakannya bagi pemilihan kali ini. 

Dalam strategi 'menyerang' yang dijalankan Rafizi, beliau dari awal lagi sudah memperkenalkan barisan 'pasukannya' dalam pemilihan kali ini. 

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu menamakan antaranya Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Haron yang akan bertanding jawatan Naib Presiden PKR bersama Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang serta bekas Ahli Parlimen Kapar, G Manivanna. 

Berbanding Saifuddin, orang kanan Anwar yang terkenal dengan sikap 'cool' atau tenang, beliau dilihat sedikit terkehadapan kerana sudah mula berkempen di cabang dan kawasan bertemu ahli di akar umbi.

Tidak terkecuali bagi pemilihan kali ini, tumpuan terarah kepada jawatan nombor tiga dalam parti itu apabila 17 calon yang menawarkan diri bertanding bagi empat kerusi Naib Presiden seperti yang diperuntukkan dalam Majlis Pimpinan Pusat.

Pertandingan di peringkat Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) juga hebat dan sengit.

Bila kita tahu keputusan pemilihan

Keputusan pemilihan peringkat cabang akan diketahui pada 23 Mei melalui aplikasi ADIL dan laman web ADIL. 

Pemilihan PKR terbahagi kepada dua peringkat iaitu peringkat Cabang dan Kongres Nasional. 

Pada peringkat Cabang, jawatan yang perlu dipilih ialah Jawatan Utama Pusat, Jawatankuasa Cabang, Jawatankuasa AMK Cabang, Jawatankuasa Wanita Cabang (62 jawatan).

Kongres PKR

Bagi peringkat kedua atau Peringkat Kongres Nasional, jawatan yang perlu dipilih adalah Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Majlis Pimpinan AMK dan Majlis Pimpinan Wanita membabitkan 60 jawatan dan pengundian akan dibuat oleh Perwakilan di Kongres Nasional Keadilan, Kongres Nasional AMK dan Kongres Nasional Wanita yang akan berlangsung pada 24-25 Jun 2022. 

Apa yang penting pemilihan kali ini

Penganalisis berpendapat, Pemilihan PKR 2022 akan menentukan corak sokongan yang akan diraih parti itu menuju PRU15 selepas parti itu dilihat seperti kehilangan arah dalam Pakatan Harapan (PH). PKR perlu dilihat kekal dengan tawaran reformasi menerusi pernyataan dasar dan sasaran jelas untuk membawa Malaysia ke hadapan. PKR juga perlu dilihat masih ada 'awan' untuk menaungi khemah pembangkang menjadi gabungan yang boleh memberi pilihan kepada pengundi. 

Bibit perpecahan dalam khemah PH seperti yang terlihat dalam PRN Johor bukanlah sesuatu yang sempurna untuk gabungan pembangkang menghadapi PRU15.



Sumber | BH Online




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo