NOTIS:

Belum ada lagi....

Jadual penerbangan ditukar, MAVCOM jalankan siasat

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) sedang menyiasat beberapa aduan mengenai syarikat penerbangan yang mengubah jadual penerbangan tanpa penghantaran notis mencukupi kepada pengguna.

Sejajar mandat untuk menegakkan hak pengguna, suruhanjaya itu mengarahkan syarikat penerbangan mengemukakan semua data relevan mengenai gangguan jadual penerbangan sepanjang tempoh perayaan dari 28 April hingga 9 Mei lalu, bagi mendapatkan pandangan objektif, tepat dan komprehensif mengenai keadaan itu.

"Ini termasuk jadual penerbangan sebenar berbanding jumlah penerbangan yang dijadualkan semula oleh semua syarikat penerbangan sepanjang tempoh perayaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengikut Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC), syarikat penerbangan dikehendaki menyampaikan sebarang perubahan status penerbangan kepada pengguna secepat mungkin.

"Untuk kelewatan dua jam atau lebih, syarikat penerbangan yang beroperasi mesti bertanggungjawab dalam menyediakan makanan, panggilan telefon dan akses Internet.

"Bagi kelewatan lima jam atau lebih, syarikat penerbangan harus menyediakan penginapan jika diperlukan serta pengangkutan.

"Sekiranya masa penerbangan yang dijadualkan semula tidak memenuhi tujuan perjalanan pengguna, bayaran balik tiket penerbangan harus dibuat oleh syarikat penerbangan," jelasnya.

Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Saripuddin Kasim, berkata pengguna yang menghadapi kelewatan atau masalah penerbangan dan tidak mendapat layanan yang sewajarnya diminta membuat aduan rasmi kepada syarikat penerbangan berkenaan.

"Selain itu, pengguna digalakkan untuk mengemukakan aduan mereka kepada MAVCOM melalui laman web FlySmart di www.flysmart.my atau aplikasi mudah alih FlySmart bersama-sama dengan dokumentasi yang berkaitan bagi memudahkan penyiasatan."

"Pada masa sama, MAVCOM sedang memperhalusi MACPC untuk memperkemas serta menambah baik perlindungan pengguna, terutamanya dalam situasi yang tidak pernah berlaku sebelumnya.

"Isu ini adalah perkara yang mendesak dan MAVCOM akan terus memastikan pemain industri kekal mematuhi MACPC dan hak-hak pengguna terus ditegakkan," katanya. – BERNAMA






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo