NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

CIJ kritik kerajaan atas kebebasan media


Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) telah mengeluarkan laporan sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia yang menonjolkan kesukaran dihadapi oleh media Malaysia pada tahun lalu.

Ini ketika pertubuhan antarabangsa Reporters Without Borders (RSF) meletakkan Malaysia di kedudukan ke-113 dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia 2022 petang ini.

Kedudukan negara sedikit membaik daripada kedudukan ke-119 tahun lepas walaupun markah keseluruhannya merosot daripada 60.53 kepada 51.55.

Bagaimanapun, RSF memberi amaran bahawa perbandingan antara indeks tahun ini dengan tahun lepas harus dilakukan dengan berhati-hati, disebabkan perubahan dalam kaedah yang digunakan untuk indeks tahun ini.

Kata CIJ, keadaan itu masih menunjukkan persekitaran media yang masih bergelut di Malaysia walaupun terdapat peningkatan ketara kedudukan negara.

CIJ mendakwa kerajaan menggunakan senjata undang-undang yang menindas terhadap media dan wartawan untuk menutup laporan kritikal.

Antara perundangan ini termasuklah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984 mengenai jenayah penggunaan mesin cetak tanpa lesen, Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 mengenai jenayah penyebaran rahsia rasmi, Akta Hasutan 1948 mengenai jenayah ucapan dengan kecenderungan menghasut dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA) 1998 untuk penggunaan internet yang tidak wajar.

“Arah alirannya menghala untuk menyasarkan dan menakut-nakutkan media dengan menggunakan undang-undang ini apabila kerajaan digambarkan secara negatif, dengan membuat laporan polis dan menyaman, menyerang wartawan dalam talian atau hanya menafikan laporan yang sah.

“Akibatnya, media di Malaysia terpaksa menapis diri mereka sendiri apabila melaporkan berita berkaitan kerajaan, yang tidak membenarkan media menjalankan tugasnya melaporkan kebenaran dan memegang kuasa untuk bertanggungjawab,” kata laporan itu.

Ia menonjolkan pelbagai taktik ugutan yang digunakan terhadap media pada tahun kebelakangan ini.

Antara contoh diberikan CIJ, portal Malaysiakini yang didapati bersalah menghina mahkamah berhubung komen pembaca portal itu; saman fitnah oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki terhadap pemberi maklumat Lalitha Kunaratnam; dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Dr Adham Baba membuat laporan polis terhadap The Rakyat Post berhubung kenyataan “Spanish Fly.”

Sebagai tindak balas, CIJ mengulangi gesaannya untuk menghentikan penggunaan undang-undang yang menindas terhadap media dengan meletakkan moratorium serta-merta ke atas undang-undang ini dan meneruskan semakan segera untuk sama ada meminda atau memansuhkannya.

“Mengambil pendekatan sebegini juga akan melangkaui retorik biasa atau janji yang dibuat oleh ahli politik sebelum ini dan sebenarnya merealisasikan pembaharuan media dan komitmen untuk menegakkan hak perlembagaan kita,” katanya.

CIJ juga menyeru kerajaan untuk memastikan akses sama rata kepada semua media dalam acara dan sidang akhbar berkaitan kerajaan, penubuhan Dana Dokongan Media, serta menangani maklumat salah dan ucapan kebencian dalam talian.

CIJ berkata adalah penting bagi kerajaan untuk segera menubuhkan Majlis Media Malaysia.

“Dengan berbuat demikian akan menyaksikan penubuhan badan kawal selia kendiri yang telus dan bebas untuk industri ini.

"Mewujudkan majlis media akan memastikan pelaporan yang bertanggungjawab dan inklusif melalui penerbitan garis panduan untuk mempromosikan pelaporan inklusif mengenai bidang sosial, dan mengurangkan pengaruh politik dan komersial pada kandungan media," katanya.




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo