NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Aidilfitri luar jangka, peningkatan jumlah kenderaan punca kehabisan petrol


KUALA NERUS: Sambutan Aidilfitri luar jangkaan dan peningkatan jumlah kenderaan menjadi punca kebanyakan stesen minyak kehabisan bekalan petrol.

Bagaimanapun, tinjauan di beberapa stesen minyak mendapati hanya petrol jenis RON95 kehabisan menyebabkan pengusahanya terpaksa mengehadkan jualan hanya RM30 bagi setiap kenderaan.

Tinjauan juga mendapati kebanyakan stesen minyak terjejas kehabisan bahan bakar adalah yang berada di laluan utama dari Besut ke Kuala Terengganu.

Bagaimanapun, bahan bakar itu tidak terjejas di stesen minyak di pinggir bandar dan dalam kawasan bandar raya.

Wakil The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) Kuala Terengganu yang melakukan tinjauan kesesakan lalu lintas bermula dari Jertih, Besut ke Kuala Terengganu, dengan memandu kereta juga nyaris kehabisan minyak.

Ketika cuba mengisi bahan bakar di sebuah stesen minyak di Setiu, operator memaklumkan pengguna hanya dibenarkan mengisi minyak sebanyak RM30.

Sementara itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri mengesahkan berlaku kekurangan petrol di beberapa stesen minyak seperti tular dalam media sosial sejak semalam.

Pengarah KPDNHEP, Saharuddin Mohd Kia, berkata siasatan pihaknya mendapati kekurangan bahan bakar itu berpunca daripada penggunaan petrol tinggi melebihi jangkaan susulan peningkatan jumlah kenderaan.

Katanya, setiap stesen minyak mempunyai kuantiti petrol yang boleh digunakan untuk tempoh tertentu tetapi disebabkan penggunaan terlampau tinggi pada hari raya, bahan bakar itu habis sebelum tiba tarikh bekalan baharu diisi.

"Kekurangan bekalan bahan bakar itu hanya membabitkan petrol jenis RON95 dan keadaan dijangka pulih sepenuhnya secara berperingkat," katanya.

Seorang pengusaha stesen minyak di bandar Permaisuri, Setiu, dikenali Sabri berkata, dia terpaksa mengehadkan jualan petrol hanya RM30 bagi setiap kenderaan bagi membolehkan lebih ramai pengguna dapat mengisi petrol.

Bagaimanapun, katanya, isu kekurangan bekalan bahan bakar itu bukan sahaja berlaku di negeri ini, malah di seluruh negara.

"Kita membuat tempahan petrol sebanyak 180,000 liter, tetapi hanya dihantar sebanyak 7,000 liter, kira-kira jam 12 tengah malam kelmarin.

"Bekalan minyak petrol yang dihantar habis dan kita terpaksa menutup stesen minyak kira-kira jam 3 petang ini berikutan kehabisan bekalan," katanya.

Sumber | BH Online






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo