NOTIS:

Belum ada lagi....

Ada baju dipakai lebih penting daripada ukur baju di badan sendiri, kata PBRS

0


KOTA KINABALU:
Ketua Pemuda Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Edwin Laimin membidas seorang penganalisis politik yang berpendapat parti itu perlu “mengukur baju di badan sendiri” sebelum meminta bertanding di banyak kerusi pada pilihan raya umum ke-15.

Beliau merujuk kenyataan Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah yang disiarkan FMT pada 6 Mei lalu. Lee turut meminta PBRS menjadikan kekalahan pada pilihan raya negeri pada September 2020 sebagai pengajaran serta menjalankan kajian lapangan terlebih dahulu, sama ada mereka boleh menang atau tidak, baru meminta kerusi untuk ditandingi.

Pada PRN Sabah lalu, PBRS yang menggunakan logo BN meletakkan calon di lima kawasan DUN, tetapi semuanya tewas.

Ketua Pemuda PBRS, Edwin Laimin.

Edwin bagaimanapun berkata, perumpamaan yang digunakan Lee sama sekali tidak sesuai dengan keadaan politik semasa.

“Tiada istilah ‘ukur baju di badan sendiri’ dalam keadaan sekarang kerana terdapat keperluan lain yang lebih serius, iaitu untuk menjamin kestabilan politik serta fokus ke arah menyelesaikan permasalahan rakyat yang sudah banyak tertangguh.

“Dalam politik di lapangan, tidak ada istilah ukur baju, yang penting ada baju untuk dipakai,” katanya ketika dihubungi FMT.

Beliau berkata, selepas PRU14, PBRS terus konsisten dengan mengambil sikap memerhati, selain meneruskan usaha mendekati dan membantu rakyat di Sabah.

Dalam tempoh setahun, dari Mac 2021 hingga Mac lalu, katanya, seramai 56,334 orang menjadi ahli baharu PBRS.

“Penyertaan ahli baharu itu merangkumi kawasan Pensiangan, Keningau, Papar, Penampang, Tuaran dan Ranau…perkembangan ini jelas membuktikan keyakinan rakyat kepada PBRS dan BN (Barisan Nasional) sebagai wadah politik mereka pada PRU15.”

Dalam pada itu, Edwin tidak menafikan wujud gesaan akar umbi supaya pucuk pimpinan BN mempertimbang meletakkan calon PBRS di beberapa kawasan strategik.

“Bagaimanapun, pucuk pimpinan PBRS menyerahkan sepenuhnya keputusan mengenai perkara itu kepada pengerusi BN, sesuai dengan semangat setiakawan sedia ada.”

Pada 6 Mei lalu, beberapa penganalisis berpendapat PBRS belum cukup kuat untuk bersinar seperti PBS dan Upko yang bersama BN sebelum ini. PBRS kini satu-satunya parti berasaskan Kadazandusun Murut (KDM) dalam BN, selepas PBS dan Upko meninggalkan gabungan itu.

Menurut sumber, PBRS yang lebih dikenali di kawasan pedalaman kini giat mengembangkan sayapnya di beberapa kawasan, khususnya di pantai barat. Presidennya, Joseph Kurup juga secara terbuka menyuarakan hasrat parti itu bertanding di Tuaran.







............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo