LABUAN – Parti Warisan (Warisan) akan bertanding di beberapa kerusi Parlimen di Semenanjung pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang, kata Presiden parti, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Shafie berkata, keputusan itu diambil bagi meneruskan saingan parti yang berpangkalan di Sabah itu di Semenanjung selepas kemunculan pertamanya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac lepas.
“Bukan sahaja kami mahu mempertahankan kemenangan (PRU14) di peringkat negeri Sabah, bahkan juga mahu menawarkan diri di Semenanjung,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sumbangan dan Iftar Warisan Labuan di sini semalam.
Menurut Shafie, pucuk pimpinan parti itu akan meneliti kawasan Parlimen di Semenanjung yang berpontensi ditandingi dan boleh dimenangi pada PRU15 itu.
Mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang menyatakan kesediaan pembangkang meneruskan memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang selepas 31 Julai depan, Shafie berkata, Warisan tidak pernah menyokong agar MoU itu diteruskan.
“Apa yang dinyatakan oleh Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, itu adalah hak dia untuk bersuara, bagi saya, saya tidak setuju dari awal lagi, sebab itu saya tidak menandatanganinya,” katanya.
Pada Mac lepas, Anthony ketika membahaskan Titah Ucapan Yang
di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat berkata pembangkang bersedia meneruskan
MoU transformasi dan kestabilan politik yang dimeterai Pakatan Harapan
(PH) dengan Kerajaan Persekutuan pada September tahun lalu, selepas
tarikh 31 Julai depan. – Bernama
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ............... |
No comments
Post a Comment