NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Disekat Passport: 'Penjenayah pun boleh ke luar negara' - Sindir Fahmi kepada UMNO


Artis grafik Fahmi Reza, yang disiasat pihak berkuasa kerana karya satira politik, mendakwa pihak berkuasa telah menyenarai hitam namanya daripada ke luar negara dan dia kini tidak boleh memperbaharui pasportnya.

Dalam perkongsian di media sosial, Fahmi berkata dia dimaklumkan Jabatan Imigresen bahawa sekatan itu dari Bukit Aman.

Menyorot bahawa individu yang sudah sabit kesalahan dan mempunyai 42 tuduhan jenayah boleh diberi pelepasan, Fahmi berharap dia juga akan diberi pelepasan untuk ke luar negara.

"Pada bulan Mei nanti aku perlu ke Eropah kerana terlibat dalam satu persembahan teater. Aku tengah usaha untuk dapatkan clearance (pelepasan) dari Bukit Aman sebelum flight (penerbangan) aku lepas Raya.

"Kalau penjenayah yang dah sabit kesalahan dan ada 42 tuduhan jenayah korupsi pun boleh dapat clearance untuk ke luar negara, harap Bukit Aman boleh bagi aku clearance sekali. Jangan double standard (pilih kasih)," katanya.

Fahmi tidak menyebut nama secara spesifik, namun dipercayai dia merujuk bekas perdana menteri Najib Razak yang menghadapi 42 pertuduhan jenayah.

Tujuh daripada pertuduhan itu ialah pengubahan wang haram, salah guna kuasa dan pecah amanah jenayah berhubung penyelewengan RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB, yang Najib telah didapati bersalah.

Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2020 dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan.

Dia sedang merayu kes itu di Mahkamah Persekutuan.

Pada Oktober tahun lalu, mahkamah membenarkan pasport Najib dipulangkan untuk dia pergi ke Singapura.

Fahmi didakwa dua kali tahun ini atas karya satiranya.

Pada 10 Feb lepas, dia didakwa mengikut Seksyen 233(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana memuat naik karya yang disifatkan "menghina menteri".

Karya itu adalah kritikan terhadap kerajaan yang mengenakan langkah kuarantin Covid-19 yang lebih ringan kepada menteri berbanding rakyat biasa.

Pada 17 Feb, Fahmi sekali lagi didakwa di bawah undang-undang yang sama kerana karya yang menyasarkan PAS berhubung pengharaman arak.

Semakan di portal imigresen tidak menunjukkan sebarang sekatan perjalanan ke atas Fahmi.

Bagaimanapun, sekiranya dia disekat untuk memperbaharui pasport, dia tidak mempunyai dokumen untuk melakukan perjalanan ke luar negara.


............oo000oo...........
PENAFIAN 1
  Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                            ...............


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo