NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Rangka intervensi tambahan tangani kenaikan harga ayam, telur

Kerajaan rangka intervensi tambahan untuk pastikan peningkatan harga ayam dan telur di pasaran dapat ditangani.

KUALA LUMPUR: Beberapa langkah intervensi tambahan dirangka sebagai cadangan untuk menangani isu yang membelenggu industri penternakan ayam negara, terutama berkaitan peningkatan harga ayam dan telur di pasaran.

Cadangan itu dikenal pasti hasil mesyuarat diadakan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang turut membabitkan tiga kementerian serta dua agensi lain semalam.

MAFI memaklumkan, semua perkara serta cadangan intervensi tambahan yang dibincangkan dan dikenal pasti dalam mesyuarat terbabit akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang akan dipengerusikan Perdana Menteri dalam masa terdekat.

Mengulas mesyuarat semalam, katanya tiga kertas dibentangkan MAFI dan KPDNHEP termasuk berkaitan kenaikan kos pengeluaran ayam di ladang, peningkatan harga jagung, serta senario pematuhan harga maksimum ayam dan telur ayam.

"Menerusi mesyuarat ini, turut dibincangkan antara lain faktor yang menyebabkan kenaikan harga kos pengeluaran ayam di ladang secara berterusan khususnya kenaikan harga jagung yang menjadi bijirin makanan utama ayam sehingga harga ayam didapati kembali meningkat. "

"Dua komoditi utama yang membabitkan makanan ayam ialah jagung bijian dan sajian kacang soya (SBM) yang meningkat masing-masing 13 peratus dan 11 peratus sejak Januari lalu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

MAFI memaklumkan, tindakan proaktif akan terus dilaksanakan kerajaan untuk memastikan harga kekal berpatutan, namun dalam masa sama industri penternakan ayam tidak terjejas dan sekali gus dapat memastikan bekalan kekal stabil.

Dalam pada itu, MAFI berkata pemberian subsidi sedia ada kepada penternak ayam pedaging dan penelur akan dipercepat serta diperkemaskan supaya menjana manfaat segera.

Usaha sedemikian, katanya ketika ini giat dilakukan menerusi peruntukan subsidi sebanyak RM528.52 juta sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM).

"Ia demi meringankan beban penternak, susulan peningkatan kos, terutama makanan yang meliputi 70 peratus daripada aspek pengeluaran selain kos logistik, kos pekerja, utiliti serta ubat-ubatan," katanya.

Berdasarkan rekod pendaftaran penternak di seluruh negara, dianggarkan 2,255 penternak akan menikmati subsidi ini termasuk penternak persendirian, penternak integrator atau semi integrator dan juga penternak kontrak.

"Pemberian subsidi ini adalah intervensi sementara kerajaan yang perlu dilaksanakan untuk mengelak industri penternakan daripada terus menghadapi tekanan dan memastikan rakyat dapat membeli ayam serta telur dengan harga berpatutan.

"Bagaimanapun, mesyuarat mengambil maklum walaupun pemberian subsidi mula dinikmati oleh penternak, kos pengeluaran terus meningkat," katanya.

MAFI berkata, kerajaan juga memperkenalkan inisiatif 30 peratus Pengurangan Bahan Import Makanan Ternakan melalui Pelan Tindakan Pembangunan Industri Jagung Bijian sebagai langkah penyelesaian jangka panjang terhadap kebergantungan kepada makanan import.

"Ketika ini, beberapa sesi libat urus dengan rangkaian syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), syarikat konglomerat giat dilakukan untuk mendapatkan input serta menjalinkan kerjasama dalam usaha pembangunan industri jagung bijian negara melalui pendekatan berskala besar.

"MAFI akan terus menumpukan usaha bagi meningkatkan jaminan bekalan makanan negara melalui pelbagai usaha sama strategik dan sinergi terutama dengan kolaborasi bersama kementerian berkaitan seperti KPDNHEP, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM).

"Ini demi menjamin sekuriti makanan selain membantu petani dan pengusaha ternakan dalam meningkatkan produktiviti pengeluaran sekali gus menangani isu serta cabaran yang dihadapi terutama berkaitan peningkatan kos pengeluaran.

"Sesi libat urus berterusan dengan pihak industri akan diadakan untuk memastikan industri ayam serta telur terus kekal mampan, beroperasi dalam skala penuh bagi memastikan pengeluaran ayam, telur di ladang mencukupi bagi memenuhi keperluan tempatan terutama menjelang perayaan Aidilfitri," katanya.

Sumber | BH Online




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo