NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pasleak: Dua mazhab iaitu UMNO GO Solo, Muafakat Ummah - Tun Faisal


KUALA LUMPUR:
Dokumen ‘PasLeak' yang tersebar di media sosial baru-baru ini didakwa akan menyebabkan UMNO memulakan semula polemik dua mazhab.

Dua mazhab tersebut, menurut bekas Timbalan Ketua Bahagian UMNO Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz adalah pertama, UMNO bergerak solo manakala kedua, Muafakat Ummah.

"Bagi penyokong mazhab Muafakat Ummah, tentulah berita yang diterima tanpa diketahui dengan jelas siapakah sumbernya, ditangani dengan cermat dan penuh tabayyun.

"Lebih baik bertanya kepada Pas dan menyelami sejauh mana agenda permuafakatan demi mengalahkan musuh yang berbeza ideologi masih kukuh dalam diri mereka.

"Tentu bagi penyokong mazhab ini, Muafakat Nasional masih boleh digerakkan bagi memastikan matlamat kemenangan dua pertiga majoriti dalam PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15)," katanya dalam hantaran di laman Facebook, hari ini.

Mengulas lanjut, Tun Faisal berkata, bagi penyokong mazhab 'UMNO Go Solo' pula, berita yang tidak tahu daripada mana sumbernya itu disambut ibarat 'orang mengantuk disorongkan bantal'.

Jelasnya dokumen tersebut disebarkan secara meluas kepada ahli-ahli UMNO, ditambah dengan tuduhan yang membakar emosi, bahawa ia adalah 'minit mesyuarat Pas untuk menghancurkan UMNO'.

"Matlamat akhirnya adalah, Pas adalah parti yang perlu dibenci oleh UMNO, Muafakat Nasional mesti dibenam sedalam-dalamnya.

"Hanya dengan bertanding solo UMNO dan BN akan mencapai kemenangan mutlak dua pertiga majoriti kerana ketika ini, UMNO dalam posisi yang sangat kuat.

"(Ia) dibuktikan daripada dua PRK yang lalu, UMNO telah diterima rakyat dan boleh menang besar jika PRU15 dilaksanakan sekarang," tambahnya lagi.

Dalam masa yang sama, Tun Faisal berkata penyebaran 'Pasleak' didakwa dibuat oleh pihak yang tidak mahu Muafakat Nasional digerakkan semula.

Selain itu, ujarnya ia sebagai usaha meningkatkan lagi kebencian kumpulan tertentu di dalam UMNO terhadap Pas.

Sehubungan itu, Tun Faisal menasihati agar pihak berkaitan membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum mendesak PRU15 diadakan.

Ini kerana katanya, Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) pada PRU14 pernah meramalkan bahawa BN akan kalah dan hanya memenangi maksimum 90 kerusi.

"Bagaimanapun ada Pegawai Khas Perdana Menteri yang yakin BN akan menang besar dua pertiga majoriti dan mengajak kita meraikan kemenangan ini seawal jam 6.30 petang hari kita mengundi.

"Usahlah koyak sangat jika ada yang mempertikaikan kita, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan," katanya sambil mengajak agar 10 malam terakhir Ramadan diisi dengan amal ibadah.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo