NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS tangani lompat parti dengan bai’ah


MARANG: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Hadi Awang berkata, PAS menghadapi masalah lompat parti sejak tahun 1959 di Kelantan, Terengganu dan kerajaannya pernah dijatuhkan kerana tindakan itu pada tahun 1960-an.

Katanya, isu lompat parti bukan baharu dan PAS menangani masalah itu dengan bai’ah atau dalam pengertiannya berjanji memberi ketaatan.

Justeru, Tuan Guru Abdul Hadi menegaskan, mana-mana wakil rakyat PAS yang melompat parti wajib meletak jawatan.

“Kita menghadapi masalah ini sejak tahun 1959. Mereka ini baru lagi dalam politik. PAS menghadapi lompat parti ini tahun 1959 lagi, di Kelantan, Terengganu.

“Bahkan, tahun 1960 kerajaan kita jatuh kerana lompat parti. Kita bukan baru dan kita tangani masalah ini sudah lama, dengan sebab itu PAS sebut dalam sumpah ‘bai’ah’ dia.

“Mana-mana wakil rakyat yang lompat parti, wajib dia letak jawatan. Kalau tak letak jawatan akan dilaknat oleh Allah, laknat oleh semua yang melaknat.

“Itu ada dalam bai’ah, kita sebut, kita sudah ikat, kita sudah lama dalam masalah ini,” ujarnya kepada media selepas menyampaikan kuliah dhuha di Masjid Rusila, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata bagi PAS, Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti memerlukan penelitian serta tidak perlu tergopoh dalam pelaksanaan.

“Memang undang-undang ini perlu kepada penelitian, tak perlu gopoh dan kita tidak gopoh dalam masalah ini. 

“Kita kena sedar bahawa lompat parti ini ada sebab-sebab. Kalau sebab-sebab itu betul, kita tidak boleh tolak. Kalau sebab-sebab itu salah baru kita tolak.

“Ini perlu kepada penafsiran, kerana perjuangan kita untuk selamatkan rakyat bukan selamatkan diri.

“Jika parti itu tidak betul, takkan dia nak ikut parti itu lagi termasuklah parti PAS pun. Kalau parti PAS ubah dasar dia, orang PAS tak boleh ikut. Dengan sebab itu kena adalah huraian-huraian dia, tak boleh buat mudah-mudah sahaja,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Bai’ah ialah perjanjian untuk memberi ketaatan.

Orang yang berbai’ah ialah seolah-olah ia membuat janji setia untuk menyerahkan dirinya dan urusan kaum muslimin kepada khalifah.

Ia tidak akan melanggar kepada janji-setianya terhadap khalifah dalam urusan tersebut malah ia mestilah mentaati apa yang dipertanggungjawabkan ke atasnya sama ada ia suka ataupun ia benci.

Bai’ah adalah akad antara umat dan calon khalifah untuk menjadi khalifah atas dasar reda dan pilihan, tanpa ugutan dan paksaan.

Allah melalui Nabi Muhammad telah menggariskan bahawa akad tersebut adalah bai’ah. – HARAKAHDAILY 8/4/2022




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo