NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Caj tambahan: Peniaga khuatir pembekal henti bekalan ayam jika lapor KPDNHEP


KUALA LUMPUR: Peniaga ayam di Pasar Sentul di sini, khuatir pembekal akan menghentikan bekalan ayam untuk jualan sekiranya membuat laporan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengenai caj tambahan  yang dikenakan terhadap mereka.

Seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Hisham Botak berkata, sejak seminggu lalu, dia dikenakan caj tambahan sebanyak 50 sen untuk sekilogram ayam, namun perkara itu tidak dapat dilaporkan kepada pegawai KPDNHEP yang memantau.

“Sebelum ini, kerajaan sudah tetapkan harga pada RM7.60 sekilogram. Itu harga ayam yang dibekal kepada kami oleh pembekal, jadi kami jual RM8.90 sekilogram. Jadi, kami dapatlah untung RM1.30.

“Tetapi sekarang ini, pembekal tulis ada caj tambahan sebanyak 50 sen yang didakwa mereka sebagai caj pengangkutan. Jadi harga keseluruhan ayam yang dibekalkan kepada kami kini meningkat kepada  RM8.10 sekilogram. Maka, kami hanya untung 80 sen sekilogram. 

“Caj 50 sen itu sebelum ini, tapi diadakan sejak seminggu lalu. Sebab itu sejujurnya, kami cukup bengang dan marah. Bukan kami marah kepada pegawai (KPDNHEP), tetapi kami marah pada orang atasan itu yang tidak reti hendak buka mata,” tegasnya.

Menurut Hisham, selain harga dari pembekal yang menekan peniaga, permintaan diskaun dari pelanggan juga turut memberi tekanan kepada mereka.

“Peniaga juga perlu menanggung kenaikan harga bungkusan plastik serta upah memotong ayam kepada pekerja mereka.

“80 sen (untung), kami bukan jual 1 tan (ayam). 100 kilogram pun susah untuk habiskan jualan, 100 kilogram darab dengan 80 sen, hanya RM80. Kalau jumlah itu ditolak kos gaji pekerja tiga orang dan plastik, berapa lagi baki yang tinggal untuk kami? 

“Itu  untung bagi jualan 100kg kami jual lima beg, jadi kalau kami hanya berjaya jual sebanyak 116kg  sahaja, berapa sen yang kami dapat? Plastik dah naik harga tak pernah orang ambil peduli, kami pula tak caj plastik (kepada pelanggan,”  katanya.

Ditanya jika dia pernah mendapatkan penjelasan daripada pihak pemborong berhubung caj tambahan tersebut, ujar  Hisham, antara jawapan yang diterima adalah disebabkan kenaikan harga dedak dan barangan lain. 

Kata Hisham, dia masih mendapat jawapan sedemikian setelah puluhan tahun mengambil bekalan ayam daripada pembekal sama.

“Dia cakap dedak mahal, barang mahal, kalau nak, ambil. Tak nak, sudah. Itu jawapan dia, saya cakap dia, ‘Nanti pegawai datang, aku tunjuk bil’, dan dia jawab ‘Kau takde (tiada) ayam besok’.

“Kalau kami lari daripada dia (pembekal) dan beralih kepada pembekal baharu, belum tentu (pembekal baharu) ada (cukup bekalan) ayam, dan harga tidak akan berubah, sama sahaja,” jelas Hisham.

‘Permainan’ yang dirancang

Sementara itu, Mustamam Samid, 58, yang juga peniaga ayam di Pasar Sentul berharap kerajaan dapat mengadakan libatsama bersama peruncit dalam perbincangan mengenai harga kawalan ayam, bukan sekadar pembekal dan penternak.

Katanya, isu harga ayam berlaku setiap tahun apabila tiba musim perayaan Aidil Fitri, namun tidak pernah ada solusi yang memenangkan semua pihak.

Tinjauan di Pasar Senyul, Kuala Lumpur pada 8 April 2022 mendapati rata-rata peniaga ayam di sini melahirkan rasa tidak puas hati terhadap kenaikan harga ayam yang dikenakan terhadap mereka oleh pembekal dan memohon bantuan kerajaan menyelesaikan masalah ini. (FOTO SYAHIRAH SALLEH/HARAKAHDAILY)

Mustamam menyambut baik hasrat kerajaan untuk membantu pengguna dan pembeli mendapatkan ayam pada harga berpatutan, namun dia kesal melihat peniaga terpaksa menanggung beban akibat daripada kegagalan pihak berkuasa mengambil kira untung rugi peniaga.

Menurutnya lagi, bukan peniaga tidak cuba untuk berbincang dengan pembekal, tetapi pelbagai alasan diterima dan akhirnya pembekal akan memberi kata dua kepada peniaga.

“Apa yang pelik, alasan pembekal menaikkan harga disebabkan ketiadaan ayam juga tidak munasabah. Apabila saya memohon lebih banyak bekalan ayam, pembekal tiada pula masalah tiada ayam atau ayam kurang,” ujarnya.

Lebih mengecewakan kata Mustamam, peniaga juga terpaksa menangung susut nilai apabila ayam ditimbang pembekal bersama plastik yang berisi air.

“Ayam ada, tetapi sengaja mereka sebut ayam tiada. Contoh apabila tanya kenapa naik harga, jawabnya ayam tiada. Tetapi kalau mintak bekalan ayam lebih daripada mereka, ada pula.

“Kenapa? Sebab mereka (pembekal) tahu bulan Ramadan ini banyak orang beli ayam. Ada yang buat ayam golek untuk dijual di bazar-bazar Ramadan, permintaan tinggi, jadi jualan pasti lebih. Apabila jualan lebih, untung pun lebih, sebab itu mereka buat kecoh pasal (kenaikan harga) ayam ini sebenarnya,” tegasnya.

Tambah Mustamam, segala kekecohan yang berlaku disebabkan harga ayam akan berakhir selepas hari raya, begitu juga harga telur ayam  yang menjadi permintaan tinggi disebabkan ramai orang membeli untuk membuat kuih-kuih dan kek untuk Aidil Fitri.

“Saya melihat situasi ini berlaku disebabkan terdapat pihak yang mengatur permainan ini untuk mengaut keuntungan besar semasa musim perayaan Aidil Fitri,” katanya.

Dalam pada itu seorang lagi peniaga ayam,  Akmal Hazmi, 31, berkata, kenaikan harga ayam oleh pembekal yang mencecah RM8.10 sekilogram adalah yang paling tinggi pernah dialaminya.

“Jjika sebelum ini, saya dapat memperoleh keuntungan 90 sen, namun kali ini dia hanya beroleh keuntungan sebanyak 30 sen disebabkan kenaikan harga ayam daripada pembekal,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 8/4/2022




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo