NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

KKM kesan tiga produk kosmetik beracun


KUALA LUMPUR: Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan (KKM) menggesa orang ramai mengelak daripada membeli dan menggunakan tiga produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata produk itu ialah Puteri Ratu Treatment Cream dan Flashh Treatment Cream yang masing-masing mengandungi merkuri manakala Flashh Night Cream mengandungi hidrokuinon.

"Susulan itu, notifikasi produk kosmetik terbabit telah dibatalkan Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik itu dinasihatkan supaya segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

Dr Noor Hisham berkata, merkuri boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf, selain ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan serta menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.

Produk kosmetik yang mengandungi hidrokuinon pula boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini malah kulit menjadi hipersensitif.

"Ia juga boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar ultraungu berbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit," katanya.

Dr Noor Hisham berkata penjual dan pengedar produk kosmetik itu diberi amaran supaya menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik tersebut dengan serta-merta kerana melanggar Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

"Individu melakukan kesalahan di bawah peraturan-peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

"Syarikat yang melakukan kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya," katanya.

Beliau turut menggalakkan orang awam menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my atau melalui aplikasi 'NPRA Product Status' yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.– BERNAMA
























............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo