NOTIS:

Belum ada lagi....

100,000 pekerjaan bakal diwujud melalui industri dron

0
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba


KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan 100,000 peluang pekerjaan diwujudkan melalui industri dron di Malaysia, selain menyumbang RM50 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) menjelang 2030.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata justeru itu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) akan menerajui pembangunan industri teknologi dron (DroneTech) tempatan.

Beliau berkata, ia bertujuan membangunkan lima juara DroneTech bertaraf antarabangsa, selain menempatkan Malaysia antara 10 negara teratas di dunia untuk kesediaan dron (peraturan) dan penggunaan dron (pasaran) menjelang 2030.

"Bidang tumpuan terpilih untuk pembangunan dron secara intensif membabitkan sektor pertanian, logistik, media kreatif dan rekreasi, pemuliharaan alam sekitar, pertahanan dan maritim, kawalan penyakit, mitigasi dan bantuan bencana, perancangan harta tanah dan pembinaan serta tenaga," katanyanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Adham berkata, perbincangan sedang giat dijalankan bersama Kementerian Pengangkutan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta badan terbabit dalam sektor penerbangan termasuk Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), selain Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

Perbincangan itu dalam usaha menambah baik proses permohonan permit penerbangan dron sama ada untuk tujuan rekreasi, industri atau sebagainya.

Kini terdapat lebih 200 syarikat teknologi dron dikenal pasti di Malaysia.

Dr Adham berkata, 25 aplikasi teknologi dron sudah diluluskan di empat Persekitaran Sandbox dalam tempoh 18 bulan lalu melalui Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS) yang diterajui MOSTI serta dikelola MRANTI.

Beliau berkata, syarikat terbabit menerima sokongan dari segi pembiayaan untuk pengkomersialan, bantuan pengawalseliaan dan pembangunan pasaran dalam sektor pertanian, perhutanan, bandar pintar serta pengangkutan.

"Melalui beberapa tapak sandbox ini, dron akan melalui ujian tekanan dalam persekitaran sebenar bagi kegiatan penuaian, pergudangan dan banyak lagi," katanya.

Selain itu, Living Labs yang disediakan di MRANTI Park menawarkan kemudahan 4IR bersepadu termasuk MakersLab, Pusat Kecemerlangan Dron, Pusat Pembangunan 5G, Teknologi BioSains dan Penjagaan Kesihatan yang sedang giat dibangunkan sehingga tahun 2025.

Sebelum ini, MOSTI mengumumkan rancangan untuk memperkenal sukatan industri dan teknologi dron dalam pelajaran Sains, Teknologi, dan Inovasi (STI) bagi melahirkan lebih ramai pemain industri pada masa depan, selain menyasar menghasilkan 1,000 juruterbang dron tahun ini. – BERNAMA
























............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo