NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Biar SPRM siasat isu Scorpene - timbalan pengerusi PAC



Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Azizah Mohd Dun menolak gesaan agar jawatankuasa itu menyiasat isu perjanjian kapal selam Scorpene yang kembali menjadi perhatian susulan pendakwaan di Perancis.

Dia juga menolak cadangan Ahli Parlimen Iskandar Puteri DAP Lim Kit Siang agar PAC menyoal siasat dua bekas anggota polis yang disabitkan kesalahan membunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Ini kerana, katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah saluran yang tepat untuk menyiasat kes itu.

"Kes Altantuya Shaariibuu adalah kes polis manakala Scorpene di bawah bidang kuasa SPRM. Adalah baik SPRM menyiasat kes itu," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

Lim sebelum ini mencadangkan PAC menyiasat kes rasuah kapal selam dan pembunuhan Altantunya berikutan pendakwaan terhadap syarikat Perancis, Thales Group oleh pihak berkuasa Perancis kerana dikatakan bersubahat dalam rasuah perjanjian kapal selam Scorpene di Malaysia dua dekad lalu.

Lim juga mencadangkan agar PAC mempertimbangkan untuk menyoal siasat dua bekas anggota polis, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, yang disabitkan kesalahan membunuh Altantuya.

Azilah kini sedang menunggu hukuman mati manakala Sirul melarikan diri ke Australia.

Kata Lim, PAC boleh berbuat demikian di bawah fasal 77(d) Perintah Tetap Dewan Rakyat.

Mandat PAC adalah untuk menyiasat perkara berkaitan kewangan kerajaan. Bagaimanapun, Altantuya dikaitkan dengan sekurang-kurangnya seorang yang terlibat dalam perolehan kapal selam itu.

Altantuya dibunuh pada 18 Okt 2006. Apabila Sirul dan Azilah dibicarakan atas tuduhan membunuh, terbongkar bahawa Altantuya mempunyai hubungan sulit dengan Abdul Razak Baginda, pemilik beberapa syarikat yang terlibat dalam perjanjian kapal selam Scorpene.

Sirul dan Azilah disabitkan kesalahan pada 2009 tetapi dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan pada 2013. Selepas dibebaskan, Sirul melarikan diri ke Australia, di mana dia kini ditahan.

Susulan itu, Mahkamah Persekutuan membatalkan rayuan dan mengembalikan sabitan, yang membawa hukuman mati.

Sejak kes Mahkamah Persekutuan selesai, Sirul dan Azilah menegaskan mereka tidak bersalah.

Azilah cuba mendapatkan semakan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2019. Dalam akuan berkanunnya, Azilah mendakwa dia diberi "perintah tembak-untuk-bunuh" oleh timbalan perdana menteri ketika itu, Najib Razak atas alasan bahawa Altantuya adalah perisik asing .

Permohonan Azilah untuk semakan itu tidak berjaya.






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo