NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bapa tiri kejam

BANDAR BAHARU: Belum selesai siasatan kes dera hingga menyebabkan anak tiri perempuannya maut, rahsia seorang lelaki terbongkar apabila turut disyaki menoda serta mendera anak tiri keduanya yang berusia empat tahun ketika berada di rumah mereka di Malau, Jitra.

Perbuatan jijik dan kejam lelaki terbabit yang menjadikan anak kedua daripada tiga beradik itu sebagai objek melepaskan geram dan nafsu serakah dikesan selepas doktor yang merawat mangsa di Bahagian Kecemasan Hospital Jitra menghubungi polis memaklumkan kejadian.

Sumber berkata, pihaknya menerima maklumat jam 4.20 petang semalam daripada doktor memaklumkan mangsa yang berusia empat tahun itu disyaki didera dan pemeriksaan lanjut turut mendapati ada kesan koyakan pada alat sulit kanak-kanak malang terbabit.


Menurutnya, siasatan lanjut mendapati mangsa tinggal bersama ibu kandung serta bapa tiri dan abang sulung berusia enam tahun selain adik bongsu perempuan berusia tiga tahun.

"Hasil siasatan lanjut dan keterangan daripada ibu saudaranya, wanita itu memberitahu abang mangsa pernah ternampak bapa tiri mereka menyeluk tangan ke bahagian alat sulit adiknya.

"Bagaimanapun, mangsa kini masih dalam keadaan trauma dan sukar untuk diambil keterangan selain lebih banyak berdiam diri," katanya ketika ditemui, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan pada tubuh mangsa juga mendapati terdapat kesan cakar pada muka, badan serta kesan gigitan di kedua-dua telinga serta bahu.

"Selain itu, terdapat juga parut luka lama akibat dicucuh putung rokok di paha, betis serta kesan koyakan pada kemaluan dan dubur mangsa.

"Berikutan itu, doktor memaklumkan akan membuat pemeriksaan secara menyeluruh di bahagian alat sulit mangsa yang akan dilakukan hari ini di Hospital Jitra," katanya.

Menurutnya, mangsa dan juga saksi akan dirujuk untuk menjalani kaunseling berikutan keadaan dan situasi yang dihadapi mereka ketika ini agak membebankan kerana terpaksa mengharungi dugaan besar ketika usia masih mentah.

Kelmarin, suspek yang berusia 22 tahun ditahan bersama isterinya berusia 26 tahun yang juga ibu kandung kepada tiga kanak-kanak terbabit selepas disyaki mendera anak bongsu perempuan yang berusia tiga tahun hingga maut.

Mangsa yang menderita akibat asma dan penyakit kulit dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia jam 7.30 malam.

Hasil bedah siasat kemudian mendapati kanak-kanak itu dikatakan sudah dua jam meninggal dunia sebelum dibawa ke hospital dan kematiannya dipercayai akibat hentakan benda tumpul hingga ususnya pecah.

Selain dihempap benda tumpul, doktor tidak menolak kemungkinan kanak-kanak terbabit dipijak tanpa belas kasihan oleh orang dewasa malah ibu kandung dan ayah tirinya turut mengaku pernah memukul mangsa.

Difahamkan, ibu kandung dan bapa tiri kanak-kanak berkenaan baru beberapa bulan berkahwin dengan si isteri mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes curi motosikal manakala suaminya pula tidak memiliki sebarang rekod jenayah.

"Pemeriksaan air kencing juga mendapati mereka bebas dari pengaruh dadah dan pasangan terbabit direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Selain itu, lelaki terbabit juga kemungkinan akan disiasat mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan (KK) kerana sumbang mahram," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Datuk G Suresh Kumar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan kejadian berhubung kes terbabit namun enggan mengulas lanjut mengenainya. - Berita Harian







............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo