NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

'Adakah saya harus dimalukan, diaib, dizalimi?' - Zahid

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada wartawan selepas hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini untuk prosiding bela diri bagi 47 pertuduhan membabitkan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi. - BERNAMA

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kenyataan pihak pendakwaan bahawa tiada satu sen pun dana Yayasan Akalbudi digunakan untuk membantu orang miskin sebagai tidak benar sama sekali.

Bekas Timbalan Perdana Menteri yang memberikan keterangan bela diri di Mahkamah Tinggi hari ini, berkata yayasan itu memberikan sumbangan kebajikan kepada golongan miskin dan sumbangan amal jariah berjumlah lebih RM109 juta.

Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu mendakwa, jumlah itu bagaimanapun hanya sebahagian daripada sumbangan yayasan yang diasaskannya kerana sebahagian lagi tidak disenaraikan kerana beliau berpegang kepada prinsip 'tangan kanan memberi, tangan kiri tidak tahu'.

"Di hari Jumaat ini, saya tidak mahu menyanggah sebarang pernyataan mana-mana pihak sebagaimana prinsip saya pegang, iaitu kalau tangan kanan memberi, tangan kiri tidak perlu ketahui.

"Apabila senarai D5 dan D6 (bahan bukti senarai sumbangan Yayasan Akalbudi) dikemukakan pada Yang Arif (hakim Mahkamah Tinggi), saya beri pengakuan bahawa penyataan tiada satu sen diberi untuk menolong orang miskin adalah tidak benar.

"Saya mahu keadilan diberikan kepada saya kerana sumbangan ini saya masukkan dengan tujuan hati yang baik. Adakah ini sesuatu yang harus dimalukan, diaibkan, dizalimi kepada saya. Ini mungkin disebabkan kelemahan teknikal setiausaha syarikat, tetapi dari segi niat, saya lakukan kerana Allah semata-mata," katanya.

Ahmad Zahid menjawab soalan peguamnya, Datuk Ahmad Zaidi Zainal pada sesi pemeriksaan utama ketika membela diri terhadap 47 pertuduhan, iaitu 12 kes pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran dalam pernyataan pembukaan pada 18 November 2019, berkata pihaknya akan membuktikan tiada satu sen pun daripada RM31 juta dana Yayasan Akalbudi digunakan bagi membantu orang miskin, sebaliknya tertuduh membelanjakan bagi kepentingan sendiri, termasuk pembayaran kad kredit.

Katanya, pendakwaan juga akan membuktikan dana yayasan sama dibelanjakan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu bagi membeli insurans kenderaan dan lesen motor persendirian.

Pada hari pertama membela diri Rabu lalu, Ahmad Zahid berkata, antara sumbangan Yayasan Akalbudi khususnya di Bagan Datuk, termasuk Ihya Ramadan untuk fakir, asnaf, anak yatim, penambahbaikan dan penambahan bangunan baharu Surau Kampung Parit 25 dan pembinaan Masjid Tuminah Hamidi.

Ia turut disalurkan bagi pembinaan masjid di Yunan, China yang menelan kos RM3.8 juta dan pengubahsuaian masjid lama berusia 400 tahun di perkampungan Melayu di Cape Town, Afrika Selatan yang menelan kos AS$1 juta.

Membiayai ubah suai gereja lama dibeli komuniti Islam di Perth, Australia untuk dijadikan masjid; percetakan al-Quran untuk diedarkan ke negara minoriti Islam, pembinaan dataran Masjid Tuminah Hamidi (masih dalam proses) dan disalurkan kepada keluarga Cina serta India sempena Deepavali dan Tahun Baharu Cina.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 23 Mei ini.

Sumber | BH Online




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo