NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PICKids masih rendah, KKM pergiat kempen

Kementerian Kesihatan akan terus pergiatkan kempen pemberian vaksin kepada kanak-kanak terutamanya ketika penularan kes COVID-19 yang dilihat semakin meningkat. 

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus pergiatkan kempen pemberian vaksin kepada kanak-kanak terutamanya ketika penularan kes COVID-19 yang dilihat semakin meningkat.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, turut mengakui pemberian vaksin dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) masih rendah kerana terdapat ibu bapa yang masih ragu dan bimbang pelalian COVID-19 itu akan memberi kesan kepada anak mereka.

Namun, beliau berkata, KKM akan tetap berusaha sepenuh hati untuk menyelamatkan rakyat di negara ini khususnya kanak-kanak daripada dijangkiti COVID-19.

"Sekarang kes sangat tinggi dan kanak-kanak yang masuk ke hospital akibat COVID-19 ini semakin meningkat. Perkara ini ternyata memberi kebimbangan kepada KKM.

"Risiko pada kanak-kanak ini sangat tinggi jika mereka tidak divaksin. Ibu bapa sepatutnya takut dan bimbang jika anak tidak diberi vaksin, terutamanya ketika peningkatan kes serta penularan varian Omicron yang mudah merebak ini," katanya kepada BH, hari ini.

PICKids diperkenalkan pada 3 Februari lalu, setakat semalam sebanyak 1,003,227 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun sudah mendapatkan sekurang-kurangnya satu dos vaksin. Jumlah itu adalah 28.3 peratus daripada keseluruhan populasi kanak-kanak di negara ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (CITF-C), berkata kebimbangan ibu bapa mengenai pemberian vaksin kanak-kanak itu banyak dipengaruhi oleh sosial media serta video yang tular.

"Saya seru semua ibu bapa dengarlah berita yang sahih daripada KKM serta beri kebenaran untuk anak ini divaksin, ia demi keselamatan mereka," katanya.

Dr Noor Azmi berkata, berikutan itu pihaknya melakukan beberapa perkara untuk meningkatkan kesedaran pemberian vaksin kepada kanak-kanak, termasuk 'menyelitkan' maklumat mengenai kebaikan imunisasi COVID-19 menerusi beberapa medium seperti penerangan di radio, televisyen dan menggunakan sosial media oleh pakar kanak-kanak.

"Selain itu, kita juga menggunakan pempengaruh (Influencer), agamawan, melaksanakan webinar, forum dan sesi townhall bagi menjelaskan perkara yang benar.

"Kita juga mendapat kerjasama daripada pihak negeri untuk melaksanakan kegiatan berkenaan, selain turut 'menyelitkan' informasi itu dalam Khutbah Jumaat di seluruh negara dan mengadakan kempen serta penerangan secara berterusan hampir setiap hari," katanya.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, jangkitan COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun menunjukkan, peningkatan ketara apabila 50,826 orang disahkan positif virus itu bermula awal Januari sehingga pertengahan Februari lalu.

Beliau berkata, sebanyak 15,817 kes atau 31.12 peratus kanak-kanak dijangkiti kategori satu diikuti kategori dua (34,857 kes), kategori tiga (120 kes), kategori empat (28 kes) dan kategori lima (empat kes).

Sumber | BH Online




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo