NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Menteri Luar tulis surat rasmi kepada Blinken dalam Bahasa Melayu

KUALA LUMPUR - Sejajar dengan usaha memartabatkan Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa, Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah mengutuskan surat rasmi dalam bahasa kebangsaan kepada Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken.

Perkara itu dikongsikan beliau dalam satu catatan di akaun Facebooknya pada Khamis.

"Hari ini saya telah menulis surat rasmi dalam Bahasa Melayu kepada Setiausaha Negara Amerika Syarikat.

"Ia surat rasmi dalam Bahasa Melayu yang pertama daripada saya kepada rakan sejawat, selaras dengan kenyataan Perdana Menteri di Dewan Negara semalam (Rabu),” kata Saifuddin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu persidangan Dewan Negara bahawa beliau akan mengadakan perbincangan dengan pemimpin ASEAN untuk mencadangkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN.

Usaha penggunaan Bahasa Melayu itu akan diteruskan dalam mana-mana pertemuan, mesyuarat dan persidangan antarabangsa, sama ada dua hala atau pelbagai hala, di dalam mahupun di luar negara mengikut kesesuaian.

Dalam menterjemahkan kesungguhan kerajaan itu, Ismail Sabri mula menggunakan Bahasa Melayu semasa lawatan rasminya ke Indonesia, Brunei, Kemboja, Thailand dan Vietnam baru-baru ini.

Beliau juga akan menggunakan Bahasa Melayu secara rasmi ketika berucap pada Sidang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Sidang Kemuncak ASEAN yang masing-masing akan berlangsung pada September dan November ini.

Sumber | Sinar Harian

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo