NOTIS:

Belum ada lagi....

Koperasi PEKERTI cadang buat sabun sendiri tangani masalah ekonomi

0
Marang: Kebiasaan bahan campuran (pes) diguna secara meluas dalam aktiviti masakan namun berlainan bagi Koperasi Pembangunan Ekonomi Rakyat Terengganu (Ko-Pekerti) kerana bakal memperkenalkan pes sabun untuk kegunaan harian.

Pengerusinya, Mohd Shuhaimi Embong berkata, idea itu bertujuan bagi meringankan beban kewangan dan perbelanjaan orang ramai memandang kos sara hidup kini semakin meningkat.
Menurutnya, pengguna boleh membancuh sendiri sabun yang mana setiap pes seberat satu liter dan harganya juga dijangka tidak membebankan.

"Kita di koperasi ini tidak berhajat untuk bersaing dengan mana-mana pengeluar sabun kerana tujuan utama kita adalah ingin menyediakan produk sabun mampu milik.

"Koperasi memilih produk sabun buat masa ini memandangkan bahan pencuci itu merupakan satu keperluan bagi setiap rumah," katanya ketika ditemui di majlis perasmian kilang Koperasi dan Produk Sabun D'Iman di Unit Kilang Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPUT) Bukit Kor di sini, hari ini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Keusahawan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Terengganu Mohd Nur Khuzaini Ab Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu Wan Sukairi Wan Abdullah.

Menurutnya, selain memberi fokus pes sabun, koperasi juga bercadang mengembangkan produk sabun terbabit di peringkat sama ada Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun kampung.

"Konsepnya kita akan mengajar usahawan di kampung atau DUN yang ingin menceburi bidan pembuatan sabun ini dan mereka boleh menjual sabun dengan kaedah isi semula.

"Kita anggarkan dengan kaedah isi semula ini pengguna dapat menjimatkan wang mereka antara 30 hingga 50 peratus," katanya.

Menurutnya, kos membuat sabun bukannya mahal namun kos-kos sampingan seperti pengangkutan, botol, label dan jenama sabun itu sendiri membuatkan sabun menjadi mahal.

Katanya, sebuah mesin membancuh sabun sekitar RM10,000 dan sekiranya ada usahawan di peringkat kampung dan DUN yang berminat, pihaknya bersedia memberi kursus kepada mereka.

Shuhaimi berkata, sekiranya ia dapat diperluaskan di semua DUN dengan konsep isi semula maka pengguna akan memperoleh sabun dengan harga yang lebih murah.

Mengulas mengenai hala tuju koperasi berkenaan, beliau berkata, walaupun baru ditubuhkan namun pihaknya komited untuk memajukan ekonomi rakyat Terengganu.

"Selain produk yang dihasilkan oleh koperasi, kami juga akan bekerjasama dengan NGO bertujuan untuk memasarkan produk-produk keluaran Terengganu seperti keropok lekor, nasi dagang dan pelbagai produk lain untuk dipasarkan dengan lebih meluas di negara ini.

"Kita akan mengguna pelbagai kaedah dalam memasarkan produk-produk ini dan berharap usahawan yang berminat boleh bekerjasama dengan kami dalam mengembangkan lagi pasaran produk mereka," katanya.

Sumber | Harian Metro

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo