NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

KKM wajar mudahkan SOP ketibaan di KLIA


KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diminta untuk mempermudahkan garis panduan prosedur operasi standard (SOP) bagi ketibaan pengembara dari luar terutamanya dari Tanah Suci yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pada masa ini, jemaah umrah yang mendarat di KLIA, terpaksa menghabiskan beberapa jam di lapangan terbang bagi pemakaian peranti pengawasan digital, e-Bracelet serta melengkapkan proses ujian PCR.

Seorang jemaah umrah yang enggan dikenali berkata, SOP sedia ada bagi ketibaan pengembara dari luar terutamanya dari Tanah Suci, perlu dipermudah dan diselaraskan semula seperti mana langkah diambil Arab Saudi sejak 5 Mac yang lalu.

Beliau yang mendarat di KLIA lebih kurang jam 5 petang, Sabtu lalu berkata, semua jemaah dalam penerbangannya termasuk warga emas diletakkan di bilik pelepasan menunggu dan semua urusan hanya dapat diselesaikan selepas hampir empat jam.

"Kami menunggu lama untuk memasang peranti pengesanan digital itu dan kemudian perlu melakukan ujian PCR sekali lagi sedangkan ia sudah dilakukan di Arab Saudi, iaitu dua hari sebelum kembali ke tanah air.

"Bukan sahaja tiada sistem sistematik bagi penggiliran jemaah untuk pemakaian peranti pengawasan digital malah hampir 300 jemaah dalam penerbangan yang sama terpaksa bersesak dalam bilik pelepasan dalam keadaan letih dan tidak selesa selama beberapa jam.

"Apa yang boleh saya katakan, proses terpaksa dilalui jemaah yang tiba di KLIA memang sangat menyusahkan dan sangat berbeza dengan pengalaman di imigresen Arab Saudi yang hanya mengambil masa 15 minit sahaja," katanya ketika menghubungi BH, sebentar tadi.

Sebelum ini, Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan & Pengembaraan Selangor (MATTA Selangor) menggesa KKM meneliti dengan lebih serius aspek pengurusan pengembara dari luar yang tiba di pintu masuk KLIA.

Timbalan Pengerusi MATTA Selangor, Mohd Rezwan Alias berkata, jemaah umrah yang tiba di KLIA terpaksa beratur panjang untuk proses pengesahan lokasi kuarantin dan proses ujian PCR di kaunter KKM.

Dalam masa sama, jemaah umrah itu turut mempersoalkan mengenai pemasangan peranti pengawasan digital yang disifatkannya sebagai tidak mencapai objektif bagi memastikan penularan wabak dalam kalangan pengembara dari luar dapat dikawal.

Katanya, peranti miliknya yang perlu dipakai selama lima hari sepanjang tempoh kuarantin, kehabisan bateri pada hari ketiga.

"Pada hari keempat, ia terbuka dengan sendiri dan pada saya penggunaannya adalah satu pembaziran yang besar kepada kerajaan.

"Ini pengalaman kedua saya berdepan masalah dengan peranti itu. Bulan lalu saya ke luar negara dan peranti yang dipakai, tidak berfungsi hanya selepas beberapa hari sedangkan pada waktu itu tempoh kuarantin masih belum berakhir," katanya.

Sumber | BH Online




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo