NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Indonesia memperkenalkan logo halal baharu

Logo halal Majlis Ulama Indonesia (MUI) (kiri) yang akan digantikan secara berperingkat dengan logo halal kerajaan Indonesia (kanan).

JAKARTA: Badan Penyelenggaraan Jaminan Produk Halal (BPJPH) di bawah Kementerian Agama Indonesia kini menetapkan logo halal baharu yang digunakan di seluruh negara mulai 1 Mac lalu.

Menurut laporan agensi berita Antara, penetapan logo baharu itu terkandung dalam Surat Keputusan BPJPH Nombor 40 Tahun 2022 mengenai Penetapan Logo Halal, yang ditandatangani Ketua BPJPH, Muhammad Aqil Irham pada 10 Februari 2022.

Muhammad Aqil berkata penetapan logo halal baharu itu dibuat berdasarkan Artikel 37 Undang-Undang Nombor 33 Tahun 2014 mengenai Jaminan Produk Halal dan Peraturan Pemerintahan Nombor 39 Tahun 2021.

"Logo halal ini secara dasarnya menunjukkan nilai-nilai Indonesia dan bentuk serta corak yang digunakan untuk menghasilkan logo baharu itu juga melambangkan keunikan negara ini.

"Logo halal ini akan digunakan di seluruh negara dan akan dikeluarkan oleh kerajaan, bukannya Majlis Ulama Indonesia (MUI)," katanya.

Tambah beliau, walaupun penggunaan label Halal Indonesia berkuatkuasa 1 Mac lalu, mereka yang masih menggunakan label dan nombor sijil halal MUI dibenarkan menghabiskan stok sebelum melakukan penyesuaian.

"Pengusaha yang memiliki sijil produk yang disahkan halal sebelum BPJPH beroperasi serta masih memiliki stok dengan label halal dan nombor ketetapan halal MUI boleh menghabiskan stok mereka terlebih dulu.

"Selepas itu, mereka harus segera menyesuaikan peralihan kepada label halal yang ditentukan BPJPH, sekali gus menyelaras serta menyeragamkan tanda halal produk keluaran Indonesia," katanya.

Dalam pada itu, jurucakap MUI, Sholahuddin al-Ayub menegaskan, penetapan fatwa halal bagi sesuatu produk tetap berada di bawah bidang kuasa majlis berkenaan.

"Undang-undang negara sudah menetapkan bahawa MUI bertanggungjawab menetapkan status halal sesuatu produk.

"Malah, logo halal yang dikeluarkan MUI sebelum ini juga masih boleh digunakan sehingga 2026," katanya.

Bagaimanapun, Sholahuddin enggan mengulas lanjut berhubung keputusan Kementerian Agama yang akan mengambil alih tugas mengeluarkan logo halal.

Katanya, MUI mahu mengambil pendekatan tunggu dan lihat kerana perkara itu (pelaksanaan logo baharu) masih pada peringkat awal.

Logo Halal Indonesia diganti menjadi label berwarna ungu dengan tulisan Arab berbunyi 'Halal', dengan tulisan HALAL Indonesia di bahagian bawahnya.

Sementara itu, Menteri Agama, Yaqut Cholil Qoumas, menegaskan bahawa akan tiba satu tahap di mana label halal milik MUI tidak akan diterima pakai lagi.

"Pada waktu akan datang, secara bertahap, label halal yang dikeluarkan MUI tidaka akan diperakui sah lagi, sebaliknya pengesahan halal, sebagaimana ketentuan undang-undang, diselenggarakan oleh kerajaan," katanya.

Sumber | BH Online




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo