NOTIS:

Belum ada lagi....

Harimau Malaya mengaum di Kota Singa

0
Syafiq Ahmad (dua kiri) melepaskan rembatan ketika menentang Filipina pada aksi persahabatan di Stadium Nasional Singapura. - Foto ihsan Facebook FAM

KUALA LUMPUR: Era baharu di bawah kendalian Kim Pan Gon bermula dengan 'kemanisan' apabila skuad Harimau Malaya menundukkan Filipina 2-0 pada aksi persahabatan Siri Tiga Negara di Stadium Nasional, Singapura, sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan pengendali dari Korea Selatan itu menamatkan 'kitaran' badi 18 tahun yang membelenggu pengendali skuad kebangsaan yang sebelum ini gagal meraih kemenangan dalam perlawanan pertama di bawah kendalian mereka.

Malah, keputusan itu membolehkan Malaysia meraih kemenangan pertama dalam enam perlawanan menentang pasukan di ranking ke-129 dunia itu selepas kali terakhir menang ke atas Filipina pada 2007.

Bagaikan 'harimau kelaparan', hanya dua minit diperlukan untuk merobek gawang Filipina selepas hantaran lolos La Vere Corbin Ong menemui Akhyar Rashid yang kemudiannya bijak memperdayakan pertahanan Filipina sebelum merembat deras menewaskan Neil Etheridge.

Malaysia terus 'menggila' dalam tempoh lima minit pertama namun percubaan Syafiq Ahmad terkena palang dan percubaan susulan R Kogileswaran dinafikan pertahanan Filipina di atas garisan gol.

Intensiti permainan yang mula dikendurkan Malaysia di pertengahan babak pertama tidak menghalang Malaysia daripada terus mendominasi permainan dan Filipina tidak dibenarkan bermain dengan selesa.

Gol kedua negara tiba pada minit ke-24 menerusi serangan balas pantas dan hantaran Syafiq daripada sebelah sayap kanan disudahkan Akhyar sebelum pemain itu hampir mencetak hatrik di penghujung babak pertama.

Selepas rehat, Filipina tampil lebih kemas dan banyak menggunakan kekasaran untuk menyekat pemain Malaysia yang tampak lebih pantas dan cergas pada perlawanan ini.

Malaysia memiliki beberapa percubaan khususnya menerusi Arif Aiman Hanapi dan Kogileswaran namun tidak cukup untuk melebarkan jurang buat skuad negara dan kedudukan 2-0 kekal hingga wisel penamat dibunyikan.

Selepas ini, skuad negara akan berdepan satu lagi aksi persahabatan Tier 1 berdepan Singapura sebelum beraksi dalam perlawanan tertutup menentang kelab Liga Singapura, Albirex Niigata FC Singapura pada Isnin.

Sumber | BH Online




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo