NOTIS:

Belum ada lagi....

Farah Ann nyatakan hasrat untuk bersara

Farah Ann sudah menyatakan hasrat untuk mengundur diri kepada jurulatihnya.

KUALA LUMPUR: Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) masih menunggu surat rasmi daripada Farah Ann Abdul Hadi selepas dia dilaporkan menyatakan hasrat untuk bersara daripada sukan itu.

Setiausaha Kehormat MGF, Afrita Ariany Nasril, berkata setakat ini pihaknya hanya dimaklumkan berhubung perkara berkenaan menerusi jurulatih dan orang yang terdekat dengan ratu gimnastik artistik negara itu namun tidak daripada tuan punya badan sendiri.

Katanya, kali pertama berita mengenai Farah, 28, mahu bersara dimaklumkan ketika mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) bersama Majlis Sukan Negara (MSN) baru-baru ini.

"Daripada apa yang kami dimaklumkan oleh jurulatih, Farah menyatakan hasratnya untuk bersara. Malah, dia bukan saja beritahu kepada jurulatih tetapi turut memaklumkan perkara berkenaan kepada beberapa orang yang rapat dengannya.

"Apapun, kami masih menunggu surat rasmi daripada Farah sendiri mengenai perkara ini sebelum kami boleh membuat sebarang pengumuman," kata Afrita ketika sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Atlet ke Sukan SEA Vietnam di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di sini, hari ini.

Mengulas sama ada nama Farah masih berada dalam senarai untuk menyertai Sukan SEA Vietnam, Afrita berkata setakat ini atlet berkenaan masih dalam berada dalam perancangan bagi menggalas cabaran skuad gimnastik negara menghadapi temasya dwitahunan itu.

"Sudah pasti dengan kehadiran Farah bersama pasukan, kami mempunyai peluang yang besar untuk memenangi pingat emas dalam acara berpasukan. Namun, jika sebaliknya berlaku kami juga sudah mempunyai pelan B.

"Jika tanpa Farah, kami mempunyai atlet yang berpotensi untuk memenangi pingat emas dalam acara lain bagi mencapai sasaran yang ditetapkan," katanya yang memaklumkan MGF menetapkan sasaran untuk membawa pulang empat emas dari Vietnam masing-masing dua untuk gimnastik artitistik dan berirama.

Sebagai rekod, Farah antara atlet gimnastik artistik negara yang paling berjaya di Sukan SEA apabila sebelum ini berjaya meraih tujuh emas menerusi penampilan pada edisi 2015 di Singapura, 2017 di Kuala Lumpur dan 2019 di Manila.

Dia juga mencipta sejarah apabila menjadi gimnas ketiga negara menempah tiket beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas kali terakhir gimnas lelaki, Ng Shu Wai beraksi pada Sukan Olimpik 2004 di Athens. 

Seorang lagi gimnas wanita negara yang pernah ke pentas Olimpik ialah Au Li Yen pada Olimpik 2000 di Sydney.

Sumber | BH Online




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo