NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ahli Parlimen cadang pelbagai kaedah atasi banjir

Gambar Hiasan


KUALA LUMPUR: Isu banjir dan perubahan iklim terus menjadi perhatian pada sesi perbahasan Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, hari ini.

Rata-rata Ahli Parlimen membangkitkan isu terbabit, serta mendesak pelan jangka pendek dan panjang dilakukan kerajaan bagi mengatasi masalah banjir.

Mereka turut mencadangkan pelbagai kaedah penyelesaian berkaitan, di samping menegur kerajaan supaya tidak menjadikan bencana alam luar biasa sebagai alasan untuk menutup sebarang ketidakcekapan dalam menangani isu berkenaan. 

Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) berkata, rakyat tidak mahu lagi mendengar alasan banjir disebabkan taburan hujan yang banyak dan perubahan iklim.

"Sejak dulu lagi, alasan-alasan yang sama dikemukakan tetapi banjir tetap berulang di tempat yang sama," katanya.

Beliau sekali gus menyifatkan bencana itu turut menyaksikan sesetengah agensi kerajaan didakwa tidak melakukan kerja dengan baik atau berkesan serta gagal merancang.


"Setiap kali banjir, akan ada pengumuman projek kerajaan mengatasi banjir, namun banjir tetap berulang. Saya nak tanya, adakah ini bermakna projek yang diluluskan itu tidak dilaksanakan?" katanya.

Datuk Dr Xavier Jayakumar (Bebas-Kuala Langat) berkata, Ahli Parlimen perlu membantu kerajaan mencari jalan menambah pendapatan bagi kegunaan menyelesaikan projek terbengkalai, sekali gus menyelesaikan isu banjir.

Beliau berkata, sekarang bukan masa untuk menyalahkan pihak tertentu, sebaliknya membantu kerajaan menyelesaikan isu dikenal pasti.

Katanya, terdapat projek penyelesaian isu banjir sudah diluluskan di Kuala Lumpur, iaitu Projek Pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Serantau di Batu-Jinjang Kepong. 

Namun, beliau berkata, difahamkan projek itu tidak dapat dilaksanakan akibat masalah perunding dan kontraktor, dengan hanya 45 peratus berjaya disiapkan.

"Saya difahamkan bahawa kontraktor projek itu sudah ditamatkan, sedangkan ia penting untuk mengatasi masalah banjir di Kuala Lumpur.

"Ketika saya menjadi Menteri, ada kontraktor membawa cadangan baharu tetapi tidak diluluskan kerana ia memerlukan perbelanjaan tambahan RM80 juta.

"Justeru untuk membolehkan projek itu dijalankan semula, kita perlu membantu kerajaan mencari wang supaya ia dapat diteruskan," katanya.

Sementara itu, Datuk Zakaria Mohd Edris (BERSATU-Libaran) mencadangkan supaya kerajaan membina lebih banyak dewan serbaguna untuk dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS).

"Isu PPS ini bukan membabitkan Sabah dan Sarawak saja tetapi juga negeri lain di Semenanjung yang mengalami masalah banjir," katanya.

Sumber | BH Online


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo