NOTIS:

Belum ada lagi....

Aduan penipuan internet, telefon isu paling kerap diterima BNMTELELINK pada 2021

0
Salah satu inisiatif utama bank ialah membuat hantaran peringatan dengan kerap melalui halaman Facebook Amaran Scam, dengan lebih daripada 320 hantaran dibuat sepanjang 2021. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR: Aduan mengenai penipuan kewangan, terutamanya penipuan melalui internet dan telefon serta penipuan berkaitan pelaburan merupakan antara lima isu yang paling kerap diajukan oleh orang ramai melalui BNMTELELINK pada 2021, kata Bank Negara Malaysia (BNM).
BNMTELELINK telah mengekalkan bilangan interaksi yang tinggi dengan kira-kira 300,000 interaksi pada tahun 2021, di mana orang ramai dan perniagaan terus menghubungi bank melalui telefon, e-mel dan secara dalam talian.
Bank pusat berkata BNM dengan kerjasama agensi penguatkuasaan lain termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Polis Diraja Malaysia, terus meningkatkan usaha untuk mendidik orang ramai mengenai penipuan kewangan.
"Salah satu inisiatif utama bank ialah membuat hantaran peringatan dengan kerap melalui halaman Facebook Amaran Scam, dengan lebih daripada 320 hantaran dibuat sepanjang 2021. Sejak dilancarkan pada 2020, halaman itu telah mendapat 39,000 pengikut.
"Pada 2021, kami dapati ada penurunan sebanyak 11.2 peratus dalam pertanyaan dan aduan berkaitan penipuan yang diterima oleh BNM," katanya dalam Laporan Tahunan BNM 2021 yang dikeluarkan hari ini.
Di samping itu, BNM juga telah menyiarkan siri webinar tujuh episod mengenai penipuan kewangan sempena Bulan Literasi Kewangan pada Oktober 2021.
Webinar yang memberi fokus kepada penipuan kewangan yang lazim berlaku di Malaysia seperti penipuan Skim Cepat Kaya, Macau Scam, Akaun Keldai, Memancing Data dan e-Dagang, dijalankan dalam pelbagai bahasa untuk mendekati komuniti Melayu, Cina dan India.
Selain itu, BNM menganjurkan 47 sesi perbincangan dalam talian melalui stesen radio negeri dan webinar secara maya mengenai penipuan kewangan pada peringkat wilayah, untuk khalayak sasaran seperti pesara, kakitangan kerajaan dan komuniti universiti.
"Bank meningkatkan keberadaan digital, menyediakan lebih banyak kandungan serta memastikan bahawa perkhidmatan dalam talian terus boleh diakses untuk memastikan pihak yang terjejas mengetahui bahawa bantuan tetap tersedia untuk membantu mereka mengharungi tempoh kesusahan," kata bank pusat.
Sepanjang tahun 2021, BNM terus memanfaatkan pelbagai saluran komunikasi bagi meningkatkan kesedaran mengenai pelbagai saluran dan mekanisme yang tersedia untuk pihak yang terjejas akibat krisis kesihatan bagi mendapatkan bantuan.
Untuk lebih berpusatkan pengguna, BNM memberikan nafas baharu pada reka bentuk laman sesawang bagi memastikan pengunjung mendapat maklumat yang diperlukan dengan beberapa klik sahaja.
Bank juga mengkaji semula kandungan halaman utamanya untuk pengalaman yang lebih mesra peranti mudah alih, yang melihat paparan laman sesawang lebih responsif terhadap peranti yang berbeza untuk peranti mudah alih dan pengguna komputer meja.
Selain keberadaan dalam platform Facebook, Instagram, Twitter, LinkedIn dan YouTube, BNM juga memperluas keberadaan dalam platform Telegram untuk meluaskan jangkauannya.
-- BERNAMA



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo