NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Putus hubungan PAS-UMNO perlu dipertimbangkan dengan serius



PETALING JAYA: PAS hanya akan memutuskan hubungan politiknya bersama Umno selepas melakukan beberapa pertimbangan serius apabila tercetus pengkhianatan sebilangan pemimpin Umno termasuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin, berkata kesabaran PAS berhubung tindakan Umno dalam Muafakat Nasional (MN) dan PN berdasarkan pertimbangan.


Katanya, pertimbangan itu akan diambil kira sebelum proses memutuskan hubungan dengan Umno dibuat.

“Maknanya kesabaaran PAS itu akan ada pertimbangan, pertimbangan-pertimbangan ini akan diambil kira kerana struktur PAS…kita mengambil kira sekiranya ia memberi defisit kepada Islam khususnya terhadap perpaduan ummah kita tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap hubungan kita dengan Umno.

“PAS mempunyai struktur Majlis Syura Ulamak dan kita ada kepemimpinan eksekutifnya dan kita ada muktamar itu sendiri, penyatuan ummah ini satu gagasan dibawa dalam Muktamar PAS, dipersetujui dalam muktamar dan diangkat dalam Majlis Syura Ulamak dan membolehkan kita bertaawun dengan sesiapa sahaja yang mahukan kepada keadilan Islam dan menerima kepimpinan Islam,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam sesi dialog bersama Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan.

Ketika ditanya Wan Saiful berhubung penamat kepada “kesabaran” PAS terhadap Umno, Khairil berkata “turning point” bagi PAS memerlukan kepada prosedur.

“Perkara-perkara ini sedang dalam penelitian dan sekiranya ia diangkat secara kuat barangkali akan berlakunya muktamar khas untuk perbincangan kembali dan diangkat kertasnya kepada Majlis Syura Ulamak untuk membuat penentuan terhadap dasar,” katanya.


Justeru, beliau mengharapkan ahli partinya termasuk juga daripada Bersatu bersabar kerana tindakan diambil adalah secara berstrategi dan berperingkat.

“Jangan terlampau gopoh,” katanya.

Kluster mahkamah merosakkan negara

Khairil secara berterus terang menyerang “kluster mahkamah” dalam Umno yang dianggap merosakkan negara.


“Ketidakstabilan itu diganggu oleh mereka yang mempunyai kepentingan mereka yang kalah pilihan raya, berdepan kes mahkamah dan memalukan negara di peringkat dunia dengan kes rasuah, salah guna berlaku dan dihukum rakyat (pada pilihan raya umum ke-14),” katanya.

Beliau berkata, penghormatan PAS kepada Umno adalah kepada kluster yang mahukan kepada penyatuan Ummah antara mereka kini berada dalam kerajaan sekarang.

Mengulas berhubung pembabitan anak muda dalam politik, Khairil berkata cabaran sebenar adalah memastikan mereka tidak bosan dengan politik, lebih-lebih lagi tidak mengangkat individu terbukti kesalahannya di mahkamah sebagai pemimpin.

“(Pemimpin) nak lari daripada mahkamah dan kita angkat sebagai tokoh yang menyebabkan anak muda ini fikir…bolehkah rasuah?” katanya.

Khairil juga menyentuh mengenai kekalahan PN dan kemenangan pemimpin Umno di Melaka yang terpalit dengan isu pasir pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka, November lalu.

“Orang yang memalukan negara, parti yang memalukan negara boleh diangkat kembali…kalau di Melaka ‘first past the post’ itu sifat demokrasi di negara ini, kalau menang satu undi pun, kamu menang.

“Cuma kita tak cukup untuk membuat lompatan baharu daripada BN kepada PN apatah lagi Melaka dan Johor terkenal dengan kekuatan akar umbi Umno. Jadi, tak boleh menyalahkan pengundi di Melaka, dengan peratusan pengundi rendah, undi luar tidak balik, kebimbangan kita bukan kepada Umno itu, tetapi kebimbangan kita pengundi baharu yang bosan dengan politik,” katanya.

Katanya, sekiranya pengundi baharu Melayu tidak keluar mengundi, kesempatan terbabit diambil pengundi teras parti dengan memilih pemimpin terpalit dengan isu pasir di Melaka, sekali gus mengekalkan mereka sebagai pemimpin.

Sumber | FMT Malaysia



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo