NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRN Johor: PN bakal tampil calon anak tempatan di 56 kerusi


ISKANDAR PUTERI: Perikatan Nasional (PN) akan menampilkan calon anak tempatan di semua 56 kerusi yang ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Setiausaha PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal, berkata kesemua calon berkenaan akan diumumkan di Johor Bahru, esok.

Dr Sahruddin yang juga Setiausaha BERSATU Johor berkata, PN selesai memuktamadkan keseluruhan 56 calon terbabit melalui pengagihan bersama kerusi antara BERSATU, PAS dan GERAKAN, minggu lalu.

"Calon PN pada PRN Johor mempunyai gabungan anak muda dan mereka yang berpengalaman.

"Namun, kesemua 56 calon yang bakal ditampilkan PN adalah anak tempatan di kawasan masing-masing yang aktif berkhidmat.

"PN menawarkan kombinasi calon yang seimbang, malah mempunyai kepakaran pengalaman bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga bekas Menteri Besar, bagi menerajui parti untuk memastikan kesemua calon ditampilkan adalah terbaik serta dapat mentadbir Johor dengan penuh integriti dan amanah.

"Peratusan calon muda dan sebagainya hanya akan diketahui apabila pengumuman penuh calon PN dibuat pada Khamis ini. Namun insya-Allah, kita akan menampilkan ramai calon muda," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra Setiausaha PN Johor, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi BERSATU Johor, Senator Md Nasir Hashim.

Semalam, PN dilapor akan mengumumkan senarai calon PRN Johor pada satu majlis di negeri ini, esok.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dipetik berkata perkara itu dibuat selepas pihaknya memuktamadkan pembahagian kerusi antara parti komponen PN pada minggu lalu.

Ditanya sama ada jumlah calon dan parti yang banyak bertanding pada PRN Johor nanti bakal menjejaskan peluang PN memenangi PRN Johor, Dr Sahruddin yang juga bekas Menteri Besar dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong berkata, beliau yakin pengundi akan melihat calon yang baik dan berkhidmat kepada masyarakat setempat.

"Memang diakui apabila banyak calon dan parti bertanding, akan ada kesan terhadap PN. Namun, saya yakin pengundi akan melihat calon yang baik di kawasan mereka.

"Saya juga yakin pengundi tidak akan melihat logo parti yang bertanding, sebaliknya mengutamakan dan melihat siapa calon yang ditampilkan," katanya.

Ditanya sama ada beliau akan dicalonkan sebagai Menteri Besar sekiranya PN memenangi PRN Johor, Dr Sahruddin bagaimanapun enggan mengulas perkara itu.

"Saya tidak mahu komen. Saya mudah saja dan akan mengikut arahan pemimpin parti," katanya.

Sumber | BH Online




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo