NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Banjir masih teruk di beberapa kawasan di Terengganu, Kelantan


KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di beberapa daerah di Terengganu dan Kelantan masih membimbangkan, dengan paras air di beberapa kawasan mencatat peningkatan.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan paras air dilaporkan naik mendadak di Hulu Terengganu, Terengganu petang tadi, hingga menyebabkan banyak kampung terputus hubungan.

Katanya, situasi itu memaksa agensi penyelamat menggunakan bot dan lori untuk menyelamatkan mangsa banjir kerana laluan sudah tidak boleh diakses oleh kenderaan pacuan empat roda.

Bagaimanapun, NADMA menegaskan operasi menyelamatkan mangsa banjir tetap berjalan lancar dan mengesahkan semua mangsa banjir yang menyelamatkan diri di atas bumbung di Terengganu, sudah diselamatkan pihak bomba dengan menggunakan helikopter.

"Setakat jam 2 petang tadi, sejumlah 98 pusat pemindahan sementara (PPS) diaktifkan di Terengganu untuk melindungi 4,600 mangsa daripada 1,435 keluarga.

"NADMA akan membuat penghantaran tambahan kit makanan ke PKOB Terengganu bagi melancarkan pengurusan di PPS," katanya dalam satu kenyataan selepas Mesyuarat Khas Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Pusat, hari ini.

Mengulas situasi banjir di Kelantan, NADMA memaklumkan jumlah mangsa banjir di negeri itu mencatat peningkatan, dengan 54 PPS sudah diaktifkan setakat ini.

Katanya, hujan lebat juga menyebabkan PPS di Rantau Panjang dinaiki air, namun semua mangsa di pusat pemindahan itu telah selamat dipindahkan ke PPS yang lain.

Selain itu, katanya, situasi mangsa banjir di Rantau Panjang yang tular di media sosial juga sudah diambil tindakan, dengan pasukan Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) dari negeri lain sudah melaksanakan operasi menyelamat.

"Operasi menyelamat di beberapa lokasi di Kelantan hanya boleh dilakukan menggunakan lori dan bot sahaja memandangkan air telah naik lebih tinggi.

"Bantuan sokongan responder dan logisitk turut diterima daripada negeri dan daerah lain yang tidak terjejas," katanya.

Mengenai situasi di Pahang, NADMA memaklumkan keadaan di negeri itu masih terkawal apabila belum ada PPS yang diaktifkan setakat ini kerana hanya kejadian banjir kilat yang berlaku di beberapa lokasi.

Bagaimanapun, katanya, hujan lebat direkodkan di Hulu Tembeling ketika ini, manakala paras air sungai di Jerantut sudah melebihi paras waspada setakat jam 1.30 tengah hari tadi, dengan pola peningkatan.

"Kejadian banjir di Maran, Kuala Sentul yang ditularkan adalah insiden banjir kilat dan tindakan menghantar bantuan sudah selesai.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan bahawa bekalan makanan masih mencukupi, termasuk stok di depot Terengganu dan Kelantan," katanya.

Sumber | BH Online




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo