NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

UMNO pertimbang letak calon, jika PRK Bugaya diadakan

SEMPORNA: UMNO Sabah sedia mempertimbangkan untuk meletakkan calon sekiranya pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya diadakan dalam tempoh terdekat ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, pertimbangan itu akan mengambil kira beberapa aspek terutamanya dari sudut sokongan rakyat di kawasan berkenaan.

Katanya, pada pilihan raya negeri (PRN) yang lepas, Barisan Nasional (BN) tidak meletakkan calon untuk bertanding di DUN Bugaya dan ia diwakili oleh calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Daud Tampokon.

"Bagaimanapun, calon BERSATU tewas kepada calon Parti Warisan Sabah (WARISAN) yang diwakili oleh Allahyarhamah Manis Muka Mohd Darah," katanya ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan dengan kepimpinan UMNO Bahagian Semporna di sini baru baru ini.

Kerusi DUN Bugaya disytiharkan kosong selepas penyandangnya Manis Muka meninggal dunia pada 17 November 2020, bagaimanapun PRK ditangguhkan selepas pengisytiharan darurat berikutan penularan pandemik COVID-19.

Bung berkata, kemungkinan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan PRK bagi DUN Bugaya dalam tempoh terdekat, ini disebabkan perkembangan penularan pandemik COVID-19 semakin menurun di negara ini.

"Keputusan untuk mengadakan PRK di kawasan ini akan ditetapkan oleh SPR. Bagi pihak BN, kita bersedia menghadapinya termasuklah dengan mempertimbangkan untuk meletakkan calon kita sekiranya PRK berlaku.

"Kekalahan calon BN Datuk Abd Razak Sakaran yang bertanding dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) bukanlah satu ukuran dan ia tidak akan melemahkan semangat untuk meletakkan calon jika berlaku PRK dalam tempoh terdekat ini

"Kita faham pengaruh Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Presiden WARISAN ketika itu masih kuat, bagaimanapun dalam situasi sekarang penerimaan semula rakyat kepada BN semakin meningkat," jelasnya.

Katanya, perkara itu dibuktikan dalam beberapa siri PRK dan terkini kemenangan bergaya BN semasa PRN Melaka baru-baru ini.

Beliau berkata, di kawasan Bugaya sahaja UMNO mempunyai seramai 180 cawangan dan yakin jika ahli memberikan sokongan padu kepada calon BN atau UMNO, tidak ada sebab parti itu sukar untuk merampas kawasan berkenaan.

"Apa yang penting kepimpinan UMNO bahagian ini perlu bekerja keras mendekati akar umbi dan semua struktur UMNO Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri perlu digerakkan secara proaktif.

"Keahlian parti perlu dibersihkan dan jika maklum balas positif, kita akan membuat ketetapan sama ada meletakkan calon atau sebaliknya," katanya.

Sumber | UtusanBorneo

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo