NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ujian vaksin HIV berasaskan teknologi mRNA bermula

Moderna dan IAVI memulakan ujian vaksin HIV terhadap manusia menggunakan teknologi mRNA. - Foto google

WASHINGTON: Ujian vaksin HIV terhadap manusia berasaskan teknologi mRNA bermula, umum firma bioteknologi Moderna dan Inisiatif Vaksin AIDS Antarabangsa (IAVI) pada Khamis.

Fasa 1 ujian itu dilaksanakan dalam kalangan 56 orang dewasa sihat di Amerika Syarikat (AS) yang negatif HIV.

Walaupun sudah empat dekad penyelidikan dijalankan, doktor masih belum dapat membangunkan vaksin bagi melindungi manusia daripada dijangkiti virus yang mengakibatkan AIDS, menyaksikan ratusan ribu orang maut seluruh dunia setiap tahun.

Namun begitu, harapan masih disandarkan kepada kejayaan teknologi mRNA yang merealisasikan pembangunan vaksin COVID-19 ketika ini, termasuk satu bahan pelalian yang dihasilkan Moderna.

Keberkesanan vaksin itu sekarang diuji bagi menghasilkan simulasi antibodi yang dipanggil 'antibodi peneutralan secara meluas' atau bnAbs.

Ia boleh bertindak balas terhadap banyak varian HIV yang wujud ketika ini.

Vaksin itu sepatutnya merangsang limfosit B iaitu sebahagian daripada sistem imun untuk menjana antibodi.

Menerusi ujian itu, peserta disuntik dengan imunogen, bahan yang boleh mencetuskan tindak balas imun dan disusuli dengan satu suntikan imunogen penggalak.

Bahan itu kemudiannya akan dihantar bersama dengan teknologi mRNA.

"Pengaruhan bnAbs yang meluas dianggap matlamat vaksinasi HIV dan ini adalah langkah pertama proses berkenaan," kata Moderna dan IAVI dalam satu kenyataan.

"Lanjutan imunogen akan diperlukan untuk memandu sistem imun dalam proses ini. Tetapi kombinasi rangsangan utama ini mungkin menjadi kunci pertama elemen rejimen imunisasi HIV," kata ketua penyiasat satu daripada empat tapak ujian di Universiti Washington George, David Diemert.

Imunogen yang digunakan dalam ujian itu dibangunkan oleh IAVI dan Institut Penyelidikan Scripps dengan sokongan daripada Yayasan Bill dan Melinda Gates, Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit Kebangsaan Amerika Syarikat (AS) serta Moderna.

Imunogen pertama pernah diuji pada ujian fasa pertama tahun lalu tetapi tanpa menggunakan teknologi mRNA.

Ia menunjukkan tindak balas imun yang diingini, dicetuskan dalam puluhan orang yang mengambil bahagian dalam penyelidikan itu.

Langkah seterusnya adalah membawa ia ke dalam teknik mRNA baharu Moderna.

"Memandangkan kecepatan vaksin mRNA dapat dihasilkan, platform ini menawarkan pendekatan yang lebih tangkas dan responsif terhadap penghasilan dan pengujian vaksin," kata Moderna-IAVI.

"Pencarian vaksin HIV sudah sekian lama dan mencabar serta mempunyai alatan baharu dari segi imunogen dan platform yang boleh menjadi kunci kepada kemajuan penghasilan pesat ke arah keperluan mustahak dan berkesan vaksin HIV," kata Ketua Pegawai Eksekutif IAVI, Mark Feinberg. - AFP

Sumber | BH Online




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo