NOTIS:

Belum ada lagi....

Tiga saluran jantung Shebby tersumbat, bukan mati kerana dos penggalak – Anak

KUALA LUMPUR – Kematian bekas pemain bola sepak kebangsaan, Serbegeth Singh disebabkan serangan jantung dan tiada kaitan dengan dos penggalak Covid-19 yang diambil mendiang lima hari sebelum meninggal dunia.

Perkara itu dijelaskan oleh anak lelaki mendiang bagi mengulas spekulasi di media sosial.

Anak lelaki mendiang, Sonuljit Singh, 32, berkata, dakwaan pengguna media sosial mengenai punca kematian bapanya yang lebih dikenali sebagai Shebby kerana pengambilan vaksin sebagai perbuatan yang tidak bertanggungjawab.

“Beliau mengambil dos penggalak pada 7 Januari dan meninggal dunia lima hari selepas itu seperti mana anda tahu. Kami tidak mengetahui jenis vaksin penggalak diambilnya kerana data MySejahtera mendiang belum dikemaskini.

“Namun, doktor memaklumkan kepada kami punca kematiannya 99 peratus disebabkan serangan jantung dengan bedah siasat menunjukkan tiga saluran arteri koronari tersumbat 90-100 peratus.

“Semua organ penting berfungsi dengan baik dan tidak menunjukkan sebarang reaksi alahan,” katanya dipetik sebagai berkata, dalam laporan portal FMT semalam.

Shebby, 61, dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung ketika berbasikal, pada Rabu lalu.

Dilaporkan, mesej yang tular mendakwa Shebby maut dua hari selepas mengambil dos penggalak yang memetik sumber bahawa mendiang kelihatan lesu selepas mengambil dos penggalak.

Sonuljit berkata, doktor memaklumkan bahawa bapanya mengalami masalah fibrosis jantung dan kemungkinan besar mengalami serangan jantung tanpa disedari pada masa lalu, berdasarkan saluran jantungnya yang teruk tersumbat.

Menurutnya, bapa, adik beradik dan ramai saudara mendiang berisiko tinggi mengalami serangan jantung.

“Sejarah (kesihatan) keluarga bapa saya tidak baik. Jantungnya pada bila-bila masa boleh gagal berfungsi dan kematiannya tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan pengambilan dos penggalak,” kata Sonuljit.

Katanya, Shebby juga menghidap kencing manis dua tahun lalu dengan peningkatan paras gula ketara namun dengan mengamalkan disiplin tinggi, mendiang berjaya menurunkan paras gula ke tahap terkawal tanpa pengambilan ubat.

Sehubungan itu, Sonuljit berharap orang ramai menghormati mendiang dan keluarganya, dengan tidak menularkan maklumat tidak sahih. 

Sumber | MalaysiaGazette

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo