NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tiba masa untuk bank, beri bantuan khas kepada mangsa banjir, kata pakar ekonomi


PETALING JAYA: Pakar ekonomi tidak bersetuju dengan desakan membenarkan pencarum mengeluarkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sebaliknya mencadangkan bank komersial tempatan tampil memberi bantuan khas RM10,000 kepada mangsa banjir yang terjejas teruk.

Timbalan Presiden Gerakan Keadilan Monetari Malaysia, Ahmed Razman Abdul Latiff berkata bank tempatan dilihat “berat tulang” dalam menggerakkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan sudah tiba masanya untuk industri itu menyumbang kepada golongan memerlukan.

“Kita tidak patut asyik meminta wang KWSP dikeluarkan, jangan keluarkan wang rakyat lagi kerana majoriti pencarum tidak mempunyai simpanan yang cukup untuk bersara.

“Jika mahu mengharapkan kerajaan, mereka pun sudah tidak banyak wang untuk membantu. Saya melihat ada satu lagi pihak yang belum memberi bantuan sepatutnya, iaitu bank komersial,” katanya kepada FMT.

Jelasnya, pemberian moratorium ditawarkan bank komersial tidak boleh dilihat sebagai program CSR kerana bank masih mendapat keuntungan menerusi faedah terakru dikenakan kepada peminjam yang mengambil moratorium.

“Kalau RM10,000 diberikan kepada 10,000 keluarga (yang terjejas banjir), baru RM100 juta, sedangkan sembilan bank komersial tempatan untung RM26 bilion sepanjang tahun lalu. Jadi (bantuan) tidak sampai 1.0% pun,” katanya.

Selepas negara dilanda banjir teruk selain wabak Covid-19 yang berterusan, timbul gesaan agar satu lagi pusingan pengeluaran dibenarkan.

Antara yang lantang menyuarakan pandangan itu adalah beberapa pemimpin Umno termasuk bekas Perdana Menteri Najib Razak dan Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki.

Bagaimanapun, beberapa kumpulan termasuk Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) tidak bersetuju dengan cadangan itu dan menggesa kerajaan menghentikan sebarang skim pengeluaran caruman kecemasan sebelum ahli mencapai usia persaraan 60 tahun.

Mengulas lanjut, Razman berkata sekiranya bantuan wang ihsan itu terlalu ekstrem untuk dilaksanakan, institusi perbankan disaran menghapuskan baki hutang mangsa banjir terutama bagi jenis pembiayaan Islamik.

Ini kerana, jelasnya, pembiayaan kenderaan Islamik adalah bersifat sewa beli yang mana sepanjang tempoh pembiayaan, pembeli hanya menyewa kenderaan tersebut daripada pihak bank.

“Sekiranya kenderaan sudah tidak boleh digunakan langsung, sebenarnya peminjam tidak perlu membayar pinjaman.

“RM10,000 memang tidak mampu untuk membeli kelengkapan rumah rosak teruk, jadi dengan menghapuskan hutang jangka pendek seperti kereta, sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada mereka yang terkesan,” katanya merujuk peminjam pembiayaan kenderaan Islamik.

--FMT




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo