NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Syahmi intai peluang bermain, elak kena peram


KUALA LUMPUR: Pelbagai reaksi diberikan peminat selepas Johor Darul Ta'zim (JDT) mengumumkan tonggak pertahanan kebangsaan, Syahmi Safari sah menyertai skuad itu bermula musim ini.

Ada yang menganggap Syahmi membuat pilihan tepat bersama juara Liga Super lapan kali berturut-turut dan tidak kurang juga yang membuat andaian negatif bahawa bekas pemain Selangor itu akan 'diperam' di bangku simpanan Harimau Selatan.

Segelintir pihak juga membuat andaian awal bahawa Syahmi akan menjadi seperti Akhyar Rashid, Mohamadou Sumareh, Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham dan beberapa pemain lain yang kurang mendapat peluang bermain dalam kesebelasan utama JDT.

Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail bagaimanapun menegaskan segala-galanya terpulang kepada usaha Syahmi sendiri untuk meletakkan di mana dirinya dalam skuad itu sama ada sebagai pemain penting atau sekadar memanaskan bangku simpanan.

Beliau menjelaskan peminat tidak boleh membuat penilaian terlalu awal sebelum bintang berusia 23 tahun itu menunjukkan potensinya bersaing atau 'melanggar' pemain senior JDT yang lain untuk merebut posisi di bahagian pertahanan.

Katanya, Syahmi juga perlu sedar bahawa ramai pemain terbaik Malaysia berada di JDT dan statusnya sebagai tonggak pasukan kebangsaan bukan jalan pintas untuk dia boleh mengisi barisan pemain utama Harimau Selatan.

"Sama ada dia akan bermain sebagai pemain penting atau simpanan sahaja, itu peminat tiada hak nak menentukan. Hanya jurulatih dan pengurusan JDT lebih berhak tentukan.

"Kalau dia nak jadi pemain utama, dia kena bersaing dan buktikan yang dia terbaik. Kita tak perlu takut, jika dia nak maju ke depan, dia kena gandakan usaha sebab JDT ramai pemain yang bagus.

"Jika tidak, kamu kena duduk tepi padang, itu prosedur biasa dalam permainan bola sepak. Ada pemain yang ke pasukan baharu dia boleh main terus, ada juga yang tak boleh lagi sebab perlukan masa untuk serasi dan benda ini kita tak boleh nak jangka," katanya kepada BH Sukan.

Berdasarkan posisi kegemarannya di pertahanan kanan, Syahmi perlu berdepan saingan sengit daripada dua tonggak JDT, Matthew Davies dan S Kunanlan.

Syahmi juga memiliki kebolehan bermain di posisi pertahanan kiri seperti mana yang dilakukan bersama skuad kebangsaan, namun saingan untuk merebut tempat itu juga tidak kurang hebatnya apabila perlu berdepan La'Vere Corbin Ong.

Selain itu, Jamal menjelaskan bahawa dia tidak boleh mengulas mengenai langkah Syahmi memilih untuk meninggalkan Selangor dan berhijrah ke JDT kerana ia adalah keputusan atau kehendak pemain itu sendiri.

"Setiap pemain inginkan satu pembaharuan serta peningkatan dan JDT juga akan bermain di Liga Juara-Juara Asia (ACL). Jadi mungkin dia boleh dedahkan dirinya di peringkat antarabangsa.

"Kita hanya perlu doakan yang terbaik untuk dia. Saya yakin JDT ambil dia sebab merasakan dia sebagai aset baru kepada pasukan itu bagi mengharungi ACL," katanya.

--BH




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo