NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

RCI Tabung Haji : Perjuangan Rakyat Berjaya

Di hari Jumaat yang mulia ini, saya memanjatkan rasa syukur ke hadrat Ilahi atas terlantiknya kesemua ahli anggota Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi isu Tabung Haji (TH). Pagi ini, saya bersama YB Menteri Senator Hj. Idris Ahmad dalam sesi penyerahan watikah pelantikan kepada semua ahli yang dilantik, setelah diperkenan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Mengimbau kembali detik berlakunya perubahan tampuk kerajaan, TH sentiasa menjadi keutamaan kami dalam melakukan transformasi bagi institusi hal ehwal agama. Isu-isu dan kontroversi yang terpalit sebelum ini, menyebabkan TH tersekat potensi untuk bergerak lebih jauh.

Saban hari, kami menerima aduan dan gesaan dari rakyat dan para pendeposit, supaya suatu tindakan dilakukan bagi memastikan TH mampu berdiri dengan gah dan bersih dari segala tuduhan. Isu TH juga menjadi keutamaan perbahasan Ahli-Ahli Parlimen sejak beberapa tahun lalu, termasuk sewaktu kami menjadi pembangkang. Ternyata, rakyat Malaysia, khususnya umat Islam amat menyayangi institusi kewangan kebanggan umat Islam ini.

Ada yang bertanya mengapa sudah begitu lama baru kerajaan nak tubuhkan RCI. Usaha ini bukan semudah yang disangka. Isu-isu yang dibangkitkan perlu dihalusi terlebih dahulu bagi menilai kewajaran penubuhan RCI.

Kemudian, untuk memilih ahli jawatankuasa yang berkelayakan juga adalah suatu cabaran, oleh kerana keunikan TH sebagai sebuah institusi kewangan yang lain dari institusi-institusi kewangan dan pelaburan yang ada di Malaysia. Ahli jawatankuasa yang dipilih mestilah di kalangan mereka yang benar-benar arif akan selok belok pelaburan dan operasi TH, serta berkemahiran dalam bidang perundangan bagi memastikan dapatan RCI nanti mencapai hasrat dan matlamat yang digagaskan.

Namun kerajaan tidak pernah sekali pun mengabaikan tuntutan rakyat. Segala tatacara dan keperluan untuk penubuhan RCI ini sentiasa dipenuhi. Dalam kita melaksanakan transformasi dari dalam agensi sendiri, usaha penubuhan RCI untuk mendapatkan siasatan yang telus bagi segala isu yang berlaku sebelum ini tidak pernah terhenti.

Dan kini, hasrat dan tuntutan rakyat berjaya dipenuhi. Segala tuntutan rakyat yang dizahirkan oleh Ahli-Ahli Parlimen di Dewan Rakyat saban hari, akhirnya kini menjadi kenyataan. Sudah pasti, kita menantikan hasil siasatan penuh RCI dalam usaha menjadikan TH sebuah institusi kewangan umat Islam yang mampu berdaya saing.

Jika ditanya siapakah yang paling menerima manfaat dari penubuhan RCI ini, sudah pasti rakyat dan para pendepositlah yang mendapat manfaatnya. Hasrat kami, supaya RCI dapat menilai segala isu yang terpalit kepada TH, lalu dijadikan muhasabah kepada TH untuk menentukan hala tuju operasinya selepas ini.

Semoga TH dapat bergerak lebih maju dalam mencapai hasrat penubuhannya, untuk membantu umat Islam menunaikan rukun Islam kelima serta memacu sosioekonomi umat Islam.

#RCI
#SuruhanjayaSiasatanDiraja 
#TabungHaji
#InstitusiKewangan
#Transformasi

Sumber | FB

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo