NOTIS:

Belum ada lagi....

Obor-obor beracun serang dua pantai di Terengganu

0
Obor-obor beracun dikenali sebagai Portuguese Man o' War atau nama saintifiknya 'physalia physalis' yang ditemukan di Pantai Pulau Kerengga, Marang. 


KUALA TERENGGANU: Pantai Kampung Kelulut dan Pulau Kerengga dalam daerah Marang di sini, dikesan diserang obor-obor beracun yang dikenali dengan nama saintifiknya physalia physalis.

Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Ruzaidi Mamat, berkata fasa musim Monsun Timur Laut yang sedang melanda negeri ini, dipercayai menjadi punca utama obor-obor itu hanyut ke perairan Pantai Timur.

"Tinjauan terhadap dua pantai berkenaan hari ini, menemukan empat obor-obor yang terdampar.

"Hasil penemuan itu, kita tidak menolak kemungkinan masih ada lagi obor-obor spesies berkenaan di kawasan pantai berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Ruzaidi berkata, kali terakhir spesies hidupan beracun itu ditemui di perairan Pantai Timur adalah pada Februari 2020.

Pegawai Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Hairul Effendy Adzmi menunjukkan obor-obor beracun yang dikenali sebagai Portuguese Man o' War atau nama saintifiknya 'physalia physalis' yang ditemukan di Pantai Pulau Kerengga, Marang. - NSTP/Ghazali Kori


"Jabatan Perikanan negeri pernah merekodkan lebih 1,000 obor-obor itu terapung di perairan Lautan Hindi dan ia bergerak dengan cara dihanyutkan arus atau angin," katanya.

Ruzaidi berkata, purata panjang sulur sesungut spesies itu boleh mencapai lebih sembilan meter dan diliputi nematocyst yang dipenuhi racun dan digunakan untuk melumpuhkan, membunuh ikan dan makhluk kecil lain.

Katanya, sengatan obor-obor itu amat menyakitkan dan didapati obor-obor yang sudah mati dan dihanyutkan ke pantai juga boleh menyebabkan sengatan jika tersentuh pada badan.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyentuh bangkai obor kerana kajian dilakukan ia masih beracun dan boleh membahayakan kesihatan.

"Orang ramai yang terkena sengatan diminta segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berdekatan," katanya.




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo