NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kedah Hapus Kira RM632 ribu Pinjaman SPPNK

ALOR SETAR – Kerajaan negeri mengumumkan sebanyak RM631,657.14 hapus kira pinjaman Seksyen Pembiayaan Pendidikan Negeri Kedah (SPPNK) bagi tahun 2021.

Hapus kira ini melibatkan peminjam meninggal dunia dan sakit kronik, penukaran pinjaman boleh ubah kepada biasiswa diskaun 100 peratus dan pengurangan bayaran balik pinjaman 50 peratus.

Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor berkata, jumlah hapus kita tersebut melibatkan 45 orang peminjam.

“Jumlah keseluruhan pemberian hapuskira atas faktor peminjam meninggal dunia dan sakit kronik, penukaran pinjaman boleh ubah kepada biasiswa diskaun 100 peratus dan pengurangan bayaran balik pinjaman diskaun 50 peratus bagi peminjam SPPNK tahun 2021 berjumlah RM631,657.14,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian kepada sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Wisma Darul Aman, hari ini.

Jelas beliau lagi, garis panduan baharu turut dikeluarkan bagi permohonan pengurangan bayaran balik mengikut Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK).

“Mesyuarat Jawatankuasa Kumpulan Wang Amanah Pembiayaan Pendidikan Negeri Kedah Bil 1/2021 bertarikh 19 Disember 2021 bersetuju untuk menguat kuasa garis panduan baharu berkuat kuasa Perjanjian Pinjaman Tahun 2022 dan seterusnya. PNGK 3.75 ke atas akan mendapat diskaun 50 peratus dan 3.50 hingga 3.75 diskaun 25 peratus,” jelas beliau.

Maklum beliau lagi, pelanjutan tempoh pemberian insentif diskaun 10 peratus turut diberikan kepada peminjam yang membuat penyelesaian penuh baki pinjaman dan berkuat kuasa bermula 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2022.

“Hari ini juga kerajaan membuat keputusan untuk menambah lagi RM1 juta ringgit bagi kemasukan ke IPT untuk tahun 2022. Bantuan ini khusus kepada pelajar Kedah yang lahir di Kedah dan bermastautin di Kedah. Kita beri sumbangan sebanyak RM300,” maklum beliau lagi.

"Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua"

#UrusSetiaPeneranganDarulAman
#UPDA

Sumber | FB

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo