NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Apa yang Nur Jazlan merepek ni?


SAYA merujuk temu bual Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Dato’ Nur Jazlan Mohamed dengan Utusan Malaysia pada 6 Januari 2022, yang didakwa naik angin dengan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Suka saya berkongsi dengan semua menurut soalan yang saya tandakan paling awal sebagai 1 dan 5 sebagai soalan akhir.

1. PAS mungkin bukan parti yang terlalu kuat sebagaimana yang Umno. Tetapi Umno juga bukan terlalu kuat, hanya masih perasan dan mendakwa diri mereka kuat. Tetapi PAS adalah parti yang sangat penting dalam politik Malaysia. Jika tidak penting, masakan ketika Perikatan dahulu, PAS diajak bersama dan PASlah yang mencadangkan nama Barisan Nasional dan ia diterima. Jika tidak penting, masakan Mageran diadakan di Kelantan, kenapa tidak kalahkan PAS mengikut PRU sahaja?

Juga, jika tidak penting, manakan PAS diserang dengan dahsyat, ahli-ahlinya diugut, dikenakan tindakan, negeri PAS disekat hak mereka semasa menjadi pembangkang dahulu. Ada juga kes pimpinan PAS dibunuh. Adakah parti Sosialis, Berjasa, menghadapi ujian sebegini? Tidak, sebab mereka tidak penting dan kuat. Mana mahu Tengku Razaleigh yang pekat Umnonya ketika bermusuh dengan Tun Mahathir, mengajak PAS menyertai Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan memberikan kerusi yang banyak dalam APU tahun 1990, kalau PAS tidak penting.

Dan juga jangan dilupa pada tahun 1999 di mana semua jentera yang bekerja untuk Barisan Alternatif (BA) majoriti bekerja ialah jentera PAS, calon juga PAS pinjamkan dan termasuk duit juga, masih belum dibayar hutang mereka kepada PAS. Selepas PRU14 juga, Umno dengan muka manis, sehingga sanggup mengaku segala kejahatan mereka kepada PAS sebelum ini, meminta maaf untuk bersama PAS, setelah kalah teruk. Semua keputusan pimpinan ini diterima, kerana walak ahli PAS kepada pimpinan parti. 

Tidak perlu membangkitkan kemenangan Umno di Melaka kerana memang sudah kubu mereka. Tetapi jelaskan kepada rakyat, kenapa dalam waktu mereka mendakwa rakyat tidak menyukai PN, tetapi undi PN semakin naik, terutamanya PAS. Tidak sampaikah data itu kepada Nur Jazlan?

Berkenaan walak, ‘top down’ dalam PAS dan Umno ‘bottom up’ hanya menunjukkan yang Nur Jazlan tidak mengerti al-Quran. Dalam al-Quran dijelaskan bahawa taatlah kepada Allah dan Rasul, serta ulil amri di kalangan kamu. Dengan batasan selagi ulil amri tidak menyuruh kepada perkara maksiat. Inilah ‘top down‘ yang PAS amalkan. Terbukti sehingga kini, pimpinan PAS tidak pernah disabitkan dengan apa-apa salah laku. Maka sangat lojik, ahli PAS taat dan walak kepada pimpinannya yang berintegriti itu.

Al-Quran diturunkan, iaitu ‘nuzul’, bukan dinaikkan. Maka dustur atau Perlembagaan atau arahan rasmi, mesti daripada atas ke bawah. Saya tidak tahu jika permintaan ahli bawahan Umno menjadi arahan rasmi parti mereka. Atau mahu melayan semua kehendak ahli. Walau bagaimanapun, dalam PAS, tetap meraikan pendapat ahli bawahan, sekali lagi, sama seperti pimpinan, hanya jika kehendak ahli itu, tidak berlawanan dengan kehendak agama.

Kefahaman ulamak kepada Islam yang diikuti ahli PAS kerana mereka yang paling memahami isi kandungan al-Quran. Manakala dalam PAS, orang yang faham agama ini, ada tempat khas untuk mereka, sama ada Dewan Ulamak ataupun Majlis Syura Ulamak. Mereka jadi rujukan.

2. Walak PAS bawa bala kepada Umno. Alhamdulillah kerana jelas dengan apa yang telah saya nyatakan di atas, walak PAS menurut kehendak agama, maka tidak hairanlah jika ada yang rasa bala menimpa kepada golongan yang berlawanan dengan kehendak agama. Mudah fahamkan? Air dengan minyak memang tidak akan bersatu. Tetapi saya percaya, bukan semua orang Umno, tetapi yang sejenis Nur Jazlan sahaja, yang tidak faham konsep walak, merasakan ia satu bala. Ramai lagi yang baik dalam Umno.

3. Masuk kepada kenyataan PAS mahukan gaji, elaun, pangkat dan segala hal dunia, menjelaskan lagi kedangkalan Nur Jazlan dalam memahami tindakan politik PAS. Jika PAS mahukan pangkat, PAS tidak perlu keluar dari BN dahulu, tidak akan menolak UG ketika BN berkuasa atau tidak meninggalkan Pakatan Rakyat, walau diperbodohkan oleh DAP dan PKR. Gelaran Tan Sri diberikan kepada Presiden PAS oleh kerajaan yang Perdana Menterinya dari Umno. Teruk sangat kalau Nur Jazlan tidak tahu. Atau ada rasa dengki sebab orang lain dapat Tan Sri dulu?

Kenyataan Nur Jazlan terbukti sangat membingungkan kerana menuduh PAS menerima BERSATU untuk pangkat, tetapi di Johor, di Perak dan juga di peringkat Persekutuan, Umno tetap bersama BERSATU. Sekarang Umno sudah menjadi Menteri Besar, malah Perdana Menteri, kenapa tidak ditendang sahaja BERSATU daripada kerajaan? Dah benci sangat. Atau takut kerajaan jatuh? Jadi, siapa yang takut hilang kuasa? Adakah PAS melalak meminta jawatan di Perlis, Pahang, Johor dan Melaka dari Umno? Dalam piagam juga tidak dinyatakan tidak boleh menerima BERSATU.

4. Sekejap dia kata PAS isteri, sekejap dia kata PAS suka berpoligami. Agama mana dia guna ini? Dalam Islam, isteri tidak boleh berpoligami. Itu pun dia tidak tahu ke? Patutlah takut nak nikah lagi satu. Tapi kita layan kenyataan dia ini. PAS berpoligami secara terang, tidak bersembunyi dan tidak takut. Tetapi Umno, baru sahaja sebut nak mengorat PKR, berterabur pinggan mangkuk melayang, senyap sampai sekarang. PAS bergantung hanya kepada Allah bukan manusia. Sebab itu jika kalah, ia bukan masalah kepada PAS.

Pimpinan PAS, kalau terbukti PKR memberikan kebaikan kepada Islam dan terpaksa bergabung, insya-Allah ahli akan patuh. Semua kerana Islam. Nikahlah dengan sesiapa pun, asalkan halal, ahli PAS tidak marah, sebab kita mencari jalan ke syurga. Salah satu sunnahnya ialah poligami, dalam politik, ia perlu untuk kekuatan dan kesatuan, tidak boleh berseorangan. Makin ramai bergabung, makin bagus, asal mahu kepada Islam.

5. Nur Jazlan lupa yang RUU355 itu telah dibentang diterima dipersetujui kerajaan dahulu yang dikuasai Umno-BN dalam Parlimen, bukan kedai kopi. Dibincang kerajaan baru dalam Kabinet yang juga dikuasai Umno, sudah melangkah ke tahap untuk dinilai oleh pihak yang berkaitan di negeri-negeri. Dia lupa ke dalam Kabinet yang ramai Ahli Parlimen Umno dan ketuanya juga dari Umno. 

Kalah di Sarawak, tidak mengapa kerana Sarawak bukan tempat PAS, hanya kira-kira 30 peratus orang Islam, tetapi sudah mendapat sambutan ramai. Setidak-tidaknya PAS ada Cawangan dan Kawasan di Sarawak.

Sudahlah Nur Jazlan, daripada cuba nak cari populariti murahan, nak belasah Presiden PAS, konon naik angin, ada lebih baik, periksa semula sejarah-sejarah politik yang nampaknya masih banyak kelemahan. Tembaklah orang lain, tak perlulah naik angin satu badan macam Director Ahmad Nisfu.

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 10/1/2022

Sumber Asal: https://www.facebook.com/1295779460/posts/10226165604188670/




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo