NOTIS:

Belum ada lagi....

Ahmad Zahid dedah pernah digertak, ugut bubar UMNO

KUALA LUMPUR : Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan beliau pernah diugut dan digertak supaya membubarkan UMNO selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Presiden UMNO itu berkata, parti dan pemimpinnya juga diugut akan menanggung akibat jika tidak membubarkan UMNO.

Katanya, gertakan itu menyebabkan sebilangan pemimpin UMNO melompat parti dan kemudian menghasut ahli UMNO keluar parti menyertai mereka kononnya parti itu sudah tiada masa depan.

"Muslihatnya supaya UMNO bertambah lemah seusai tewas PRU-14 dan lama kelamaan musnah sendiri.

"Seterusnya mereka berusaha menggunakan saluran undang-undang untuk UMNO diisytiharkan parti tidak sah.

"Syukur ke hadrat Ilahi UMNO berjaya mendepani segala perancangan buas itu dengan bijaksana dan bangkit menentang," katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, selepas menyedari kesemua usaha itu tidak berhasil, UMNO cuba pula dikawal supaya menuruti kehendak pihak tertentu.

Katanya, perancangan licik itu juga tidak kesampaian, malah UMNO semakin mara ke hadapan selangkah demi selangkah.

"Alhamdulillah begitu teguh jati diri UMNO dan tidak sesekali berganjak daripada kebenaran walau ditekan dengan maha hebat.

"Rahmatnya sangat ketara apabila UMNO semakin berpadu, BN kembali diyakini rakyat dan menang besar Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka," katanya.

Sementara itu katanya, UMNO sentiasa mengutamakan suara akar umbi sebelum membuat keputusan penting kerana mereka adalah 'pemilik' sebenar parti manakala barisan kepemimpinan tertingginya hanya pemegang amanah.

Beliau berkata banyak perkara diputuskan parti adalah tepat bersandarkan kepada suara akar umbi UMNO yang diterjemahkan menerusi pimpinannya.

Ahmad Zahid berkata, permuafakatan akar umbi juga menjadi faktor utama kepada kekuatan dan kebangkitan semula UMNO pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"UMNO akan terus mendengar suara akar umbi, apatah suara rakyat seperti tersemat dalam sejarah panjang perjuangannya," katanya.

Ahmad Zahid turut memuat naik foto beliau bersalaman mesra dengan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang sempena majlis menandatangani piagam Muafakat Nasional (MN) pada 14 September 2019.

Abdul Hadi pada 31 Disember 2021, mendakwa majoriti ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menyokong penuh kerjasama Muafakat Nasional (MN) yang terjalin antara parti itu dengan PAS sekali gus yakin usaha rundingan kerusi mampu dicapai bagi mengelak pertembungan tiga penjuru pada PRU-15.

"UMNO kena ikut pemimpinlah iaitu MKT, bukan ikut bahagian kerana majoriti kepemimpinan mahu bersama untuk kita bersatu," katanya.

- BH

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo