NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

USIM prihatin, Ganti komputer riba pelajar dihanyutkan banjir

Muhamad Hakimi Alif Rahman (kanan) menerima komputer riba baharu daripada wakil USIM di Hulu Langat, Selangor. - Foto USIM

KUALA LUMPUR: "Komputer riba yang saya gunakan selama ini untuk pembelajaran tidak sempat diselamatkan, hilang dibawa arus banjir," kata Muhammad Hakimi Alif Rahman.

Penuntut Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu berkata, bencana berkenaan memusnah dan merosakkan pelbagai barang dan kelengkapan rumah di Taman Sri Nanding, Hulu Langat, termasuk keperluan pembelajarannya.

"Melihat pelbagai peralatan di dalam rumah musnah dan rosak teruk, memang menyedihkan kami sekeluarga. Alhamdulillah, USIM sentiasa prihatin dengan kebajikan mahasiswanya dan hari ini saya terima komputer riba baharu sebagai ganti." katanya.

Muhammad Hakimi seorang daripada lima pelajar USIM dalam kumpulan terawal yang merima sumbangan komputer riba baharu daripada universiti berkenaan bagi menggantikan komputer riba mereka yang hilang dan rosak kerana banjir.

Sumbangan diserahkan oleh wakil Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Majlis Perwakilan Pelajar USIM di kediaman pelajar terbabit di Kuantan, Pahang dan Hulu Langat. Sehingga semalam seramai 119 pelajar universiti itu direkodkan terkesan dengan bencana berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Dr Mohd Rushdan Mohd Jailan, berkata USIM mengambil langkah proaktif itu kerana prihatin dengan banjir luar biasa yang telah merosak dan memusnahkan komputer riba digunakan pelajar untuk pengajian mereka.

"Sebagai permulaan, pengurusan universiti meluluskan perolehan 22 komputer riba melalui Pusat Wakaf dan Zakat USIM untuk diagihkan segera kepada pelajar yang terkesan dengan fokus sumbangan kepada pelajar peringkat sarjana muda.

"Penggantian segera komputer riba baharu ini bagi memastikan proses pengajian mereka tidak terjejas, terutama ketika ini di mana proses itu masih dilaksanakan secara dalam talian akibat penularan pandemik COVID-19," katanya.

Katanya, pihak universiti bersedia mempertimbangkan sumbangan tambahan komputer riba sekiranya terdapat keperluan.

"USIM turut menyelaras bentuk bantuan lain kepada pelajar yang terjejas banjir, antaranya pembersihan kediaman, bantuan makanan kering, wang tunai, bantuan psikologi dan penginapan sementara di kolej kediaman dan rumah tamu universiti," katanya.

--BH



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo