NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Perlanggaran SOP program kerajaan, KJ mohon maaf kepada rakyat


KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memohon maaf kepada rakyat, berikutan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) pada program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia, Khamis lalu.

Pelanggaran SOP membabitkan penjarakan fizikal itu menyebabkan Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan kompaun maksimum RM1,000 Jumaat lalu, kepada Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU) Jabatan Perdana Menteri yany menjadi penganjur program itu.

Khairy mengakui pelanggaran SOP pada majlis bagi meraikan kejayaan kerajaan dalam tempoh 100 hari pentadbiran itu, menjejaskan kredibiliti mesej dan saranan KKM berhubung pematuhan SOP.

Memberi jaminan kerajaan akan memastikan ia tidak berulang, beliau merayu supaya rakyat tidak mengikut kesilapan sama, sebaliknya tetap tegas dengan pematuhan SOP bagi memastikan pandemik itu berjaya dikawal.

"Saya sedar rakyat sedang marah disebabkan apa yang telah berlaku pada acara yang sepatutnya meraikan kejayan kerajaan.

"Namun, kekhilafan telah berlaku dengan beberapa insiden kesesakan yang saya sangat kesali.

"Kita minta maaf kepada rakyat tentang apa yang berlaku, tapi kita kena pandang ke hadapan. Kerajaan juga akan belajar daripada insiden yang berlaku dan kita akan buat lebih baik untuk masa akan datang.

"Tapi janganlah disebabkan kesilapan kami di pihak kerajaan, rakyat enggan patuh kepada SOP. Kita kena sentiasa sama-sama berjuang menentang pandemik ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada program Bicara Naratif Khas di RTM1, malam ini.

Dalam pada itu, Khairy menegur SEPADU yang disifatkan lemah dan gagal dalam menjalankan tugas sepanjang menganjurkan program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia, antaranya menghantar mesej mengajak pengunjung beramai-ramai memeriahkan program berkenaan.

Bagi penganjuran program akan datang, Khairy menyarankan kerajaan menggunakan agensi atau kementerian yang sudah biasa menganjurkan acara besar seumpamanya, seperti Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

"KKM tidak halang penganjuran kerana Kuala Lumpur dalam fasa empat Pelan Pemulihan Negara (PPN). Kita benarkan acara, majlis perkahwinan dan seumpamanya.

"Cuma, kena jaga SOP. Tidak timbul soal kenapa KKM tidak halang kerana ia memang dibenarkan, tapi kegagalan dari segi pelaksanaan," katanya.

Ditanya mengenai persepsi pemberian kompaun oleh KKM secara pilih kasih, Khairy menegaskan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka membuktikan kementerian tidak pilih bulu dalam menguatkuasakan peraturan dan memberikan kompaun.

Beliau mengakui dilihat sebagai 'budak jahat' pada PRN itu kerana memberi saman pada semua pihak yang melanggar peraturan, termasuk pemimpin daripada partinya sendiri.

"Penganjur program Tan Sri Muhyiddin Yassin kena RM20,000. Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, presiden saya sendiri kena RM10,000. Datuk Ab Rauf Yusoh, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka kena RM10,000.

"PKR kena RM10,000. Penganjur program Datuk Seri Najib Razak dua kali kena RM4,000. Begitu juga penganjur program Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Dalam kumpulan (Whatsapp), adalah yang soal kenapa KKM berani sangat kompaun program Perdana Menteri sendiri, seolah-olah nak cucuk (provokasi).

"Tapi Perdana Menteri kata, kalau berlaku kesalahan, elok KKM dan KJ keluarkan kompaun. Saya lega sebab Perdana Menteri menyokong tindakan saya supaya tidak ada dua darjat, pilih kasih. Saya akan teruskan," katanya. -BH




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo