NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Syarikat dan agensi kerajaan didenda Rm 1 juta jika langgar SOP



KUALA LUMPUR: Syarikat dan agensi kerajaan yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) kawalan COVID-19 boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta, selepas pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata itu antara inti pati pindaan Akta 342 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat, Khamis minggu depan, dengan menaikkan kadar maksimum kompaun daripada RM1,000 untuk pihak pertubuhan yang melakukan kesalahan.

Katanya, denda maksimum itu boleh dikenakan kepada syarikat besar yang melakukan kesalahan berulang hingga mencetuskan kluster COVID-19 beberapa kali, seperti yang berlaku ketika ini.

"Tidak semestinya kena RM1 juta selepas Akta 342 dipinda dan diwartakan. Cuma kompaun maksimum yang boleh dikenakan untuk pertubuhan, iaitu pihak syarikat, agensi kerajaan dan lain-lain ialah RM1 juta.

"Ada garis panduannya supaya tidaklah kita jadi gila kuasa dan beri semua kompaun RM1 juta. Ia bergantung pada setiap kes.

"Nilai RM1 juta berbanding RM50,000 seperti dalam Ordinan Darurat ini lebih kepada kesalahan berulang dalam kalangan syarikat besar. Contohnya syarikat besar dalam sektor pengilangan dan sentiasa mencetus kluster, sedangkan keuntungan mereka setiap tahun berbilion ringgit.

"Jika kompaun RM50,000, itu tiada apa-apa bagi mereka ... 'celah gigi' dan tidak boleh mencegah atau mengubah tingkah laku mereka," katanya pada program Bicara Naratif Khas dengan Sayed Munawar Sayed Mustar sebagai pengacara, yang disiarkan secara langsung di RTM1, malam ini.

Pada masa sama, Khairy menjelaskan kadar kompaun bagi individu kekal seperti yang termaktub dalam Ordinan Darurat, iaitu RM10,000, dengan garis panduan yang ketat.

Katanya, garis panduan itu bagi memastikan keadilan kepada pihak yang tidak berkemampuan, selain mengenakan nilai yang sewajarnya kepada pihak yang mengaut untung besar dan tidak menghiraukan SOP dilaksanakan kerajaan.

"Kita akan ada garis panduan yang sangat jelas. Mungkin kesalahan ringan RM1,000, kesalahan berulang barulah dinaikkan.

"Garis panduan ini penting kerana dulu di bawah Ordinan Darurat, ramai mengadu penjaja, penjual burger kena RM10,000. Itu tidak adil.

"Jadi, kita ada garis panduan supaya penjaja hanya dikenakan kompaun yang rendah, manakala yang lebih berada mungkin dikenakan kadar lebih tinggi," katanya.

Khairy memaklumkan, beberapa perkara lain akan turut dipinda dalam Akta 342, antaranya memperuntuk pengasingan kuarantin di rumah dan pemakaian peranti kepada individu dikuarantin dalam akta itu.

"Pindaan lain ialah memasukkan penurunan kuasa menteri kepada pegawai. Contohnya, bukan hanya pegawai penguat kuasa KKM, tapi juga pegawai penguat kuasa pihak berkuasa tempatan boleh menguatkuasakan Akta 342," katanya.

Beliau memaklumkan, perincian pindaan Akta 342 akan dimaklumkan kepada semua Ahli Parlimen esok, bagi memastikan mereka faham dan menyokong pindaan itu apabila ia dibentangkan di Dewan Rakyat.

"Saya akan jelaskan, walaupun penalti amnya RM2 juta dan boleh dikompaun RM1 juta, akan ada garis panduan yang sangat ketat supaya tiada salah guna kuasa oleh penguat kuasa. Itu jaminan yang kita kena beri.

"Namun, sewaktu COVID-19 ini, ada beberapa syarikat dengan untung berbilion ringgit yang berulang kali mencetus kluster. Kita kena ada pencegahan tapi dengan garis panduan ketat," katanya. -BH



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo