NOTIS:

Belum ada lagi....

Literasi digital dan pendidikan golongan B40 dipertingkatkan

0

PETALING JAYA: Komited meningkatkan literasi digital dan pendidikan golongan B40, Taylor’s University dengan kerjasama Persatuan Integrasi Usahawan Selangor (PIUS) melancarkan Makmal Komputer DuckiePi di Pusat Komersial NZX, Petaling Jaya, di sini, baru-baru ini.
Ia merupakan usaha berterusan pihak universiti bagi mengurangkan kesulitan golongan tersebut untuk mengikuti kelas secara dalam talian dan mengakses sumber-sumber pembelajaran selain bakal memberi manfaat kepada komuniti di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1 dan 2.
Makmal komputer itu turut dilengkapi peranti pembelajaran DuckiePi yang dibangunkan para pelajar di bawah projek Taylor’s Me.reka Makerspace (TMM) melalui ekosistem Taylor’sphere.
Ia dijana oleh Raspberry Pi, sebuah komputer tunggal bersaiz kad kredit serta fungsi aplikasi Zoom, Google Suites, mikrofon dan kamera.


Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah berkata, sumbangan peranti berkenaan dapat memastikan anak-anak mereka tidak tercicir dalam pembelajaran serta mempelajari pengetahuan baharu.
“Saya rasa inisiatif ini diperlukan kerana selepas tamatnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita dapat menyaksikan ramai pelajar tidak mempunyai peranti yang lengkap dan mencukupi, tiada data, dan terpaksa berkongsi bagi mengikuti pembelajaran secara maya.
“Melalui peranti pembelajaran DuckiePi ini, ia amat menarik kerana para pelajar boleh untuk membawanya ke mana-mana sahaja. Adalah penting untuk pendidikan dapat dicapai oleh semua orang, terutama anak-anak ini yang tertinggal dalam pembelajaran mereka semasa pandemik.
“Ini juga akan memperkasa anak-anak dengan memberikan mereka peluang meraih pengetahuan dan memastikan pembelajaran mereka tidak terhenti,” katanya ketika majlis pelancaran Makmal Komputer DuckiePi di Pusat Komersial NZX, Petaling Jaya, di sini.
Hadir sama, Pro Naib Canselor (Penyelidikan dan Perusahaan) Taylor’s University, Profesor Madya Dr Anthony Ho Siong Hock; Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya Zon 4, Anwar Nekhan dan Pengerusi PIUS, Anuar Salleh Kamarulzaman.
Sementara itu, Pengarah Bersama TMM, William Koong berkata, pihaknya turut menganjurkan program Me.reka Belia bagi memperkasa belia dan bakal usahawan golongan berkenaan melalui kemahiran digital dan web.
“Me.reka Belia ialah program yang mana kita akan memberi tunjuk ajar kepada komuniti ini tentang cara untuk menjana pendapatan melalui internet.
“Seterusnya, kita mengajarkan mereka tentang cara menggunakan aplikasi Zoom, Google Drive, e-mel termasuk Canva untuk mereka mencipta poster yang mana dilihat amat penting untuk perniagaan dalam talian. Ini manfaat terbaik buat mereka.
“Selain itu, kita juga amat mengalu-alukan mereka untuk meneruskan pembelajaran daripada literasi digital kepada menjadi usahawan digital sama ada dengan membuka perniagaan sendiri, separa perniagaan atau menjadi aktivis untuk menolong komuniti yang lain,” katanya.
Sehingga kini, sebanyak 158 peranti pembelajaran DuckiePi telah disumbangkan kepada keluarga kurang bernasib baik dan pusat-pusat komuniti di seluruh negara melibatkan dana kira-kira lebih RM70,000.



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo