NOTIS:

Belum ada lagi....

KPM teliti penangguhan sekolah berdasarkan kapasiti terjejas - Radzi Jidin

0


PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan meneliti keperluan bagi mana-mana sekolah menangguhkan sesi persekolahan penggal ketiga 2021/2022, berdasarkan kapasiti premis yang terjejas akibat banjir, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Radzi Jidin.
Beliau berkata buat masa ini, KPM sedang menjalankan penilaian ke atas kerosakan yang berlaku pada infrastruktur sekolah termasuk peralatan komputer, perabot dan buku sekolah.
"Secara umumnya, kita tidak akan tangguh sesi persekolahan dan KPM sedang usahakan untuk menyelesaikan isu sekolah terjejas banjir, sebelum tempoh pembukaan sekolah.
"Namun, sekiranya ada kes tertentu yang menunjukkan bahawa sekolah itu belum bersedia (untuk pembukaan), kita akan ambil tindakan sewajarnya. Perkara ini akan diberi perhatian secara kes demi kes," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Berkhatan Komuniti Putrajaya di sini, hari ini.
Dalam pada itu beliau turut memohon agar pihak sekolah bekerjasama dengan pihak Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah, memperincikan keperluan persekolahan seperti perabot dan buku teks bagi memudahkan KPM menyalurkan bantuan sewajarnya.
Radzi sebelum ini mengumumkan sesi persekolahan penggal tiga 2021/2022 yang sepatutnya bermula 2 Jan ini bagi Kumpulan A dan 3 Jan ini bagi Kumpulan B ditangguh selama seminggu susulan bencana banjir.
Beliau berkata negeri Kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu akan memulakan persekolahan pada 9 Jan dan Kumpulan B iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Labuan 10 Jan.
Kata Radzi lagi, KPM masih lagi melaksanakan sistem penggiliran bagi kehadiran murid apabila sekolah dibuka dan maklumat berkaitan akan diumumkan kelak.
"Masih ada penggiliran dan dalam masa terdekat kita akan nyatakan secara terperinci kumpulan mana yang digilirkan dan yang tidak terlibat. Kita ingin memastikan pembukaan ini berlangsung dengan selamat dan teratur," katanya.
-- BERNAMA

............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo